FORD EVEREST 2022 RASMI DILANCARKAN. 3 VARIAN, BERMULA RM263,888
Sime Darby Auto Connexion (SDAC) selaku pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, hari ini memperkenalkan Ford Everest generasi baharu, yang menggabungkan kemampuan pengembaraan dengan keselesaan yang optimum serta teknologi memudahkan pengguna di dalam sebuah SUV ranggi, diperhalus serta seronok dipandu.
Sebagai pilihan, terdapat tiga gred SUV tujuh-tempat duduk mewah ini akan ditawarkan iaitu Sport (pacuan dua roda), Trend (pacuan empat roda) dan spesifikasi paling tinggi, Titanium 4WD.
Penampilan luaran
Jurutera Ford telah memanjangkan lagi jarak antara roda dan trek Everest generasi baharu sebanyak 50mm. Gabungan perubahan ini memberikan kawalan atas jalan dan kendalian off-road yang lebih baik, serta memperbaiki sudut kelegaan hadapan dan belakang kenderaan.
Tetapan baharu bagi penyerap hentak membolehkan lebih kawalan dan keseronokan dalam pemanduan Everest, baik ketika di atas jalan mahupun off-road.
Jejak trek yang lebih lebar dan jarak antara roda yang lebih panjang ini membolehkan pereka untuk menghasilkan penampilan yang maskulin.
Dari arah sisi, imejnya ditonjolkan lagi dengan garis badan yang ketara, dari depan hingga ke belakang. Jejak trek serta arca roda yang lebih besar mengukuhkan lagi imej tegap yang sedia ada.
Pereka juga telah meningkatkan sudut cermin dan tiang belakang, serta menambah saiz cermin belakang dan menjadikan kerusi barisan ketiga menerima lebih pencahayaan dari luar.
DNA rekaan global Ford terserlah pada bahagian DRL LED bentuk C yang bersepadu dengan palang gril di hadapan, membawa kesan penggayaan wajah depan yang lebih menarik. Tema sama diteruskan di belakang dengan kehadirannya lampu LED bersepadu berkelebaran penuh.
Varian Sport dan Trend dilengkapi lampu LED, sementara Titanium menampilkan lampu utama LED Matrix terkini Ford dengan lampu tinggi anti-silau untuk memberikan penglihatan maksimum.
Lampu utama Matrix juga menawarkan kemampuan belokan dinamik dan statik serta pencahayaan yang bergantung kepada kelajuan. Lampu kabus LED di depan dan belakang serta lampu brek LED adalah standard untuk semua varian.
Roof rail baharu pula bukan sekadar tentang perincian rekaan. Sebaliknya, ia direka untuk berfungsi memberikan sokongan yang pelbagai dan berguna untuk mengangkut basikal, kanu, pod kargo atau khemah bumbung.
Varian Sport dan Titanium datang dengan rim aloi bersaiz 20 inci, sementara Trend menggunakan saiz 18 inci.
Everest 2022 mempunyai kemampuan meredah air sedalam 800mm dengan jarak kelegaan tanah setinggi 200mm.Everest Titanium turut dilengkapi ciri pintu ruang kargo bebas ktangan dan kini menampilkan bumbung panoramik panel berkembar.
Ruang kabin
Salah satu perkara pertama yang akan disedari ketika masuk ke dalam Everest ini adalah Tahap kesenyapannya. Ini akan memudahkan perbualan di antara penumpang di barisan kedua dan ketiga.
Pereka juga memikirkan secara terperinci berkenaan fungsi dan rasa ruang dalaman berkenaan, dengan mengambil inspirasi daripada rumah moden dan menggunakan material yang mewah serta kemasan premium dengan lampu suasana di kawasan yang akan dihargai oleh pelanggan.
Keluasan ruang disumbang oleh panel instrumen yang lebar. Tidak ketinggalan, ada 10 ruang untuk meletak cawan.
Ruang siku, kaki dan bahu juga lebih luas di depan dan belakang, serta untuk masuk ke barisan ketiga juga kini lebih senang kerana kerusi barisan kedua boleh dilaras lebih jauh ke depan berbanding sebelumnya.
Ford memberi keutamaan terhadap tempat duduk yang fleksibel dengan lipatan kerusi kuasa elektrik untuk Titanium. Kerusi barisan kedua dan ketiga telah direka untuk dilipat rata bagi membolehkan barangan panjang dibawa dengan selamat.
Bagi mengelakkan barangan terjatuh ke belakang ketika pintu kargo dibuka, pereka menghasilkan sebuah penghadang kecil. Ada juga ruang kargo di bawah lantai untuk memudahkan penyusunan barangan kecil.
Everest menampilkan ciri brek parkir elektronik (dengan e-Shifter untuk Titanium), tiga soket 12V, kerusi balutan kulit hitam premium kini dengan larasan lapan arah untuk pemandu dan penumpang depan serta kemasan dalaman ebony.
Sebagai tambahan, Titanium mempunyai outlet kuasa 230V AC yang boleh menyalurkan 400W (naik daripada 150W).
Teknologi
Sebagai tambahan kepada ruang dalaman yang diperhalusi, Ford turut memberi tumpuan dalam menyediakan teknologi ketersambungan masa kini untuk Everest generasi baharu ini.
Kelengkapan utamanya termasuklah skrin sentuh menegak 12 inci untuk Titanium (10.1-inci bagi Trend dan Sport). Ciri itu dipadankan dengan sistem infotainmen Ford SYNC® 4A bersama sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto serta lapan pembesar suara.
Everest Titanium juga dilengkapi kamera 360 darjah dengan paparan terbahagi, sementara Trend dan Sport hadir dengan kamera undur sebagai tambahan kepada sensor depan dan belakang.
Semua versi Ford Everest didatangkan standard dengan panel instrumen digital 12-inci yang menggantikan kluster analog tradisional, empat slot pengecas USB (satu di cermin utama) dan pengecas tanpa wayar Qi.
Barisan enjin
Varian Trend dan Titanium dikuasakan oleh enjin 2.0L Bi-Turbo yang dipadankan dengan transmisi automatik SelectShift 10-kelajuan. Ia mempu menjana kuasa 210PS pada 3,500rpm dan tork 500Nm pada 1,750-2,000rpm.
Kedua-dua varian dilengkapi sistem 4×4 elektronik separuh masa shift-on-the-fly (ESOF) dengan e-Locking Rear Differential dan enam pilihan mod pemanduan: Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sands.
Everest Sport pula menggunakan enjin 2.0L Single Turbo dengan transmisi automatik enam kelajuan dan menyediakan kuasa 170PS pada 3,500rpm dan tork maksimum 405Nm pada 1,750-2,000rpm. Ia turut menawarkan empat pilihan mod pemanduan: Normal, Eco, Tow/Haul dan Slippery.
Sistem keselamatan
Sama ada di laluan off-road atau trafik bandar, Ford Everest datang lengkap dengan barisan ciri dan teknologi untuk membantu dan memudahkan pemandu.
Bagi perlindungan penumpang, semua varian lengkap dengan tujuh beg udara (pemandu dan penumpang depan, dua sisi kerusi, dua sisi tirai yang melindungi semua barusan kerusi dan lutut pemandu) serta pelindung bahagian bawah badan kenderaan.
Ciri keselamatan aktif untuk semua varian Everest termasuklah cagak Isofix, ABS, EBD, kawalan kestabilan elektronik (ESC) dengan kawalan cengkaman, bantuan brek kecemasan (EBA), kawalan menuruni bukit, bantuan mula mendaki, penghindar kenderaan daripada terbalik dan kawalan beban adaptif.
Bagi ciri bantuan pemandu pula, varian Sport dan Trend datang lengkap dengan lampu isyarat berhenti kecemasan, bantuan belokan, kawalan melayar, sensor parkir depan dan belakang serta kamera undur.
Everest Titanium sebagai varian paling premium pula menerima penambahan ciri lain seperti sistem maklumat titik buta (BLIS), amaran dan bantuan penukaran lorong (LDW), bantuan lampu tinggi dan sistem pemantau tekanan tayar. Teknologi baharu dan yang dipertingkat termasuk:
- BAHARU: Kawalan melayar adaptif dengan ciri Stop/Go dan ciri ke tengah lorong yang boleh mengesan tanda lorong dan membantu kenderaan berada di tengah-tengah.
- Baharu: Active Park Assist 2.0 membolehkan Everest baharu ini membantu pemandu masuk ke ruang parkir mengiring dengan hanya satu butang. Dengan bantuan sensor ultrasonic, sistem akan mengambil alih stereng, penukaran gear, pedal minyak dan brek untuk mengalih kenderaan ke ruang berkenaan. Ia juga boleh membawa kenderaan keluar daripada ruang parkir.
- Baharu: Evasive steer assist membantu pemandu mengelak perlanggaran hadapan yang mungkin terjadi dengan membantu mengalihkan pusingan stereng dengan mudah ketika perlanggaran tidak lagi boleh dielakkan oleh brek semata-mata.
- Baharu: Bantuan brek undur membolehkan pemandu mengundur ke ruang parkir dan ruang sempit lainnya dengan memberikan amaran bunyi dan visual. Ia boleh mengesan kenderaan melintas atau pengayuh basikal/pejalan kaki di belakang kenderaan juga. Sistem ini bahkan boleh memberhentikan Everest sepenuhnya sekiranya pemandu tidak bertindak balas dalam masa yang sepatutnya.
- Baharu: Amaran lintasan trafik di belakang akan memberi amaran sekiranya ada kenderaan yang menghampiri dari arah belakang ketika mengundur. Ini amat membantu ketika ingin keluar ke laluan utama atau dari ruang parkir.
- Brek kecemasan autonomous dengan pengesan pejalan kaki, amaran perlanggaran hadapan, sokongan brek dinamik dan bantuan pra-perlanggaran. Selain menghindar atau mengurangkan kecederaan ketika perlanggaran dengan kenderaan, pejalan kaki atau pengayuh basikal di depan, bantuan pra-perlanggaran juga telah dipertingkat untuk memberikan sokongan brek kecemasan di persimpangan.
Harga dan ketersediaan
Harga bagi Ford Everest generasi baharu adalah seperti berikut. Semuanya harga atas jalan, tidak termasuk insurans dan untuk Semenanjung Malaysia sahaja.
- Everest Sport — bermula RM263,888
- Everest Trend — bermula RM281,888
- Everest Titanium — bermula RM308,888
Pilihan warna terdiri daripada Absolute Black, Aluminium Metallic, Artic White, Equinox Bronze, Lightning Blue, Meteor Grey dan Sedona Orange.
Ford Everest generasi terbaharu ini datang dengan jaminan pengeluar selama tiga-tahun, atau hingga 100,000km, yang mana dulu. Lanjutan jaminan selama dua-tahun atau 60,000 km, yang mana dulu, turut ditawarkan.
Mereka yang berminat untuk tahu lebih lanjut berkaitan SUV mewah tujuh-tempat duduk ini boleh menghubungi pakar Ford Everest melalui WhatsApp Chat.
- BACA: FORD SIAR GAMBAR TEASER RASMI EVEREST 2023
- BACA: FORD RANGER 2022 NYATA BERKUASA, MILIKI KEMAMPUAN TEMPUHI JALAN RAYA DAN OFF-ROAD LEBIH BAIK
- BACA: FORD PUMA ST – 1.5L TURBO 3 SILINDER 200PS, 320 NM!
- BACA: APA BEZA SPORT UTILITY VEHICLE SUV DAN CROSSOVER?
GALERI