
FORD MALAYSIA KINI ADA SIRI PODCAST ‘FORD MALAYSIA: BUILT FOR LIFE’, BOLEH DIDENGAR DI SPOTIFY BERMULA 28 JANUARI
Dalam merapat lagi hubungan bersama pelanggan, Ford kini menyediakan siri audio siar atau podcast terbaharu “Ford Malaysia: Built for Life” di Spotify.
Podcast berkenaan diwujudkan bagi berkongsi maklumat dan pengalaman pengguna dan sebagai yang pertama dalam industri automotif Malaysia, “Ford Malaysia: Built for Life” bakal bersiaran di Spotify bermula 28 Januari 2024.
Merupakan sebuah produksi Malaysia sepenuhnya yang diterbitkan oleh Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), podcast itu melangkaui naratif biasa berkaitan dunia automotif.
Tidak hanya memberi tumpuan terhadap spesifikasi teknikal dan maklumat berkaitan industri, “Ford Malaysia: Built for Life” lebih memberi perhatian kepada aspek kemanusiaan di sebaliknya.

Selain itu, “Ford Malaysia: Built for Life” juga menyelongkar kisah dan pengalaman pemilik Ford Ranger serta komuniti mereka.
Siri ini turut mengundang pakar dalam bidang yang akan berkongsi pandangan, tips berguna, dan kisah-kisah lain tidak pernah dijumpai di platform atau saluran sosial lain.
Dihoskan oleh personaliti radio JJ Fernandez, musim pertama “Ford Malaysia: Built for Life” mengandungi enam episod, dengan setiap satunya menampilkan kisah berbeza.
Setiap episod akan disiarkan secara langsung di Spotify pada setiap hari Ahad, selama enam minggu bermula dari 28 Januari 2024.
Episod pertama memberi tumpuan kepada Kelab Ford Ranger Malaysia yang cukup dinamik sementara episod kedua pula mengetengahkan pengalaman pemilik Ranger Generasi Baharu.
Episod ketiga tampil dengan perbualan bersama pelatih dan pakar sukan permotoran, Adian Yien.
Personaliti media sosial Namie, akan berbual bersama pakar produk SDAC dalam Episod keempat, sementara pengamal media automotif veteran, Hezeri Samsuri berkongsi pandangannya dalam Episod kelima.
Episod terakhir musim pertama menampilkan pakar dari Ford Performance yang bukan hanya terlibat dalam proses rekaan dan pembangunan Ranger Raptor Generasi Baharu, tetapi juga terlibat dalam ujian Baja 1000.








