
TRAK PIKAP ELEKTRIK FORD F-150 LIGHTNING DILANCARKAN. 370KM SEKALI CAJ, BERMULA RM165K DI AMERIKA
Ford baru-baru ini memperkenalkan trak pikap elektrik pertamanya, F-150 Lightning ke pasaran Amerika Syarikat. Jentera itu akan ditawarkan pada harga bermula AS$39,974 (RM165,500) dan pelanggan sudah boleh membuat tempahan dengan hanya AS$100 (RM414) sahaja.
Selain model asas XLT untuk tujuan kerja, F-150 Lightning didatangkan dalam dua varian iaitu Lariat dan Platinum.
Trak berkenaan didatangkan dengan dua pilihan pek bateri iaitu jarak sejauh 370km dan 483km. Namun, kapasiti bateri tidak didedahkan.
Bergantung kepada pek bateri yang dipilih, trak itu akan dilengkapi pengecasan AC berbeza. Pek bateri standard hadir bersama pengecas tunggal 11.3kW. Tempoh pengecasan dari 15 hingga 100 peratus mengambil masa sehingga 10 jam.

Manakala pek bateri lebih besar dilengkapi pengecas berkembar mencecah 19.2kW dan memerlukan 8 jam untuk dicaj penuh. Jika menggunakan pengecas pantas DC 150kW, F-150 Lightning hanya memerlukan 41 minit untuk dicaj sebanyak 80 peratus.
Bateri akan menyalurkan kuasa sekitar 426hp untuk pek bateri 318kW dan 563hp (420kW) serta tork 1,051Nm ke motor elektrik di gandar hadapan dan belakang. Kuasa itu membolehkan varian dengan pek bateri Extended Range (ER) memecut dari 0-100km/j dalam masa cuma 4.5 saat.
Ford juga menyediakan perisian Intelligent Range yang memaparkan baki jarak perjalanan selepas mengambil kira aspek beban dan tundaan untuk pengiraan yang lebih tepat.

Apa yang menarik, F-150 Lightning mempunyai keupayaan untuk membekalkan kuasa elektrik kepada rumah anda jika bekalan terputus. Sistem Backup Power menawarkan bekalan elektrik mencecah 9.6kW yang boleh digunakan di rumah selama tiga hari. Trak itu juga memiliki 11 port pengecasan di bahagian bed belakang, kabin dan frunk.
Prestasi trak pikap tersebut ditingkatkan lagi menerusi satu sistem penyejukan cecair bagi memastikan suhu bateri dioptimumkan.
F-150 Lightning menjadi trak pikap F-Series pertama yang menggunakan sistem suspensi belakang bebas untuk menambah baik aspek pengendalian dan keselesaan.
Menjengah ke ruang kabin, varian Lariat dan Platinum menerima skrin sentuh bersaiz 15.5 inci dan sistem infohibur Sync 4A yang sama seperti Mustang Mach-E. Sync 4A hadir bersama aplikasi FordPass yang boleh disambungkan dengan telefon pintar pemandu. Ia menawarkan fungsi seperti menyejuk atau memanaskan kabin, membuka atau menutup frunk, navigasi dan sebagainya.
Trak pikap itu juga dilengkapi satu modem yang menyediakan perkhidmayan naik taraf perisian secara over-the-air. Seperti dijangka, sistem bantuan pemandu bebas tangan BlueCruise ada ditawarkan.
Sistem itu berperanan mengambil alih pergerakan stereng, membrek dan memecut ketika memandu di lebuh raya, sekali gus mengurangkan kepenatan jika perlu menempuh perjalanan yang jauh.
- BACA: PEMBELI FORD MUSTANG SEMAKIN BERUSIA
- BACA: KILAT SAMBAR JALAN RAYA. SERPIHAN HENTAM FORD F-150
- BACA: FORD TERJUMPA KULIT BERNILAI RM414,650 KETIKA MENGEMAS BASEMENT. SUMBANG PADA PENIAGA TEMPATAN
GALERI