FORD RANGER PLATINUM 2023 KINI DI AUSTRALIA. V6 TURBO DIESEL 247HP, BERMULA RM231K
Ford Australia melancarkan trim Platinum baharu untuk Ranger yang ditawarkan secara eksklusif dengan turbodiesel V6 3.0 liter.
Secara visual, kemasan baharu pada gril berwarna krom antara yang memberikan perbezaan pada rupa Ford Ranger Platinum 2023. Trak pikap itu turut didatangkan dengan emblem Platinum pada bonet.
Antara penambahan lain pada Ford Ranger Platinum 2023 ialah lampu hadapan LED Matrix sebagai standard, roda aloi 20 inci, kemasan krom sutera dan warna gangsa (Equinox Bronze).
Ford Ranger Platinum 2023 turut menampilkan Flexible Rack System iaitu penutup ruang kargo yang boleh dilipat dengan kawalan elektrik dan pintu belakang bersama topang gas yang lebih ringan.
Bahagian kabin menampilkan ciri premium termasuk upholsteri kulit, aksen kayu buatan pada papan pemuka, stereng serta tempat duduk dengan ciri pemanas, selain larasan kuasa 10 hala dan fungsi memori untuk pemandu.
Ia turut menampilkan lambang Platinum pada bahagian atas glovebox, tempat duduk serta karpet lantai.
Dari segi teknologi, Ford Ranger Platinum 2023 menerima kluster instrumen digital 12.4 inci dan skrin sentuh infotainmen bersaiz 12 inci yang didatangkan bersama sistem bunyi premium B&O.
Pikap tersebut ditawarkan secara eksklusif dengan enjin turbodiesel 3.0 liter V6 yang mampu menjana 247hp dan tork 600Nm. Kuasa disalurkan kepada keempat-empat roda melalui kotak gear automatik 10-kelajuan serta sistem 4WD yang dikawal secara elektronik sepenuh masa.
Ford Ranger Platinum 2023 tersedia untuk dipesan di Australia pada harga AS$51,927 (RM231,594) untuk spesifikasi penuh. Penghantaran pertama dijangka bermula pada Mei 2023.
- BACA: FORD RANGER RAPTOR 2023 KINI DI PASARAN EROPAH, 288HP, TUJUH MOD PEMANDUAN BERBEZA
- BACA: PELANGGAN FORD BRONCO MULA HILANG SABAR
- BACA: PENCURI CERDIK DITAHAN BERSEMBUNYI DI BELAKANG FORD RAPTOR – TERINGIN MAIN SOROK-SOROK KE
- BACA: FORD TAWAR VARIAN RANGER XL SINGLE CAB. SKRIN SENTUH 10.1 INCI, BERMULA RM98K