
FORD RANGER RAPTOR SAH AKAN DILANCARKAN PADA FEBRUARI 2018
Bagi penggemar trak pikap, Ford Ranger adalah ketua segala rekabentuk yang ada pada pikap moden hari ini. Model Wildtrak menjadi idaman ramai dan ia juga trak pertama yang dijual pada harga luar biasa, hampir RM140,000 untuk sebuah trak.
Dan walaupun mahal serupa harga kereta, ia tetap laris. Saya masih ingat pada tahun pertama generasi T6 ini dilancarkan, menunggu model pesanan Ranger boleh mencecah sehingga enam bulan. Wildtrak? ada yang menempah sampai satu tahun baru dapat.
Kemudian, Ford memperbaharui T6 dengan facelift major pada 2015. Trak yang gagah kini bertambah kacak.
BACA: FORD RANGER T6 ENJIN 2JZ TURBO
Walaupun tidak selasak trak Jepun, spesifikasi dan rupabentuk menjadi faktor jualan penting untuk Ford Ranger ini. Kalau tak kerana Ranger, dah lama Sime Darby tutup kedai agaknya. Diorang nak jual apa lagi? Fiesta? Focus? semua model sejuk-beku dah tu.
September lalu, Ford umumkan mereka akan tambah satu lagi varian Ranger iaitu Ranger Raptor. Ideanya ialah imej Ford Raptor F150 yang memang terkenal di Amerika. Bahagian pembangunan Ford Asia Pasifik diberi tanggungjawab untuk membangunkan model ini.
Mungkin ramai yang jangka ia hanya perubahan minor, kecil dan bersifat kosmetik sahaja. LOgiknya memang begitu dan itu juga yang kami percaya. Mana mungkin Ford buat perubahan besar kali kedua pada platform yang sama?
Tapi T6 facelift sudah buktikan yang Ford memang sedia untuk melabur dengan Ranger.

Laman web Australia, Motoring mendapat maklumat bahawa Ranger Raptor akan di perkenalkan kepada dunia pada 7 Februari 2018. Ia akan melakukan debut global di Thailand bersempena dengan Bangkok Motorshow. Cuma itu yang diberitahu setakat ini.
Jika mengikut laporan terdahulu dari The Motor Report, Ranger Raptor akan dikuasakan dengan enjin yang lebih kecil. Ia bukan lagi enjin Puma 2.2 disel turbo sebaliknya enjin 2.0 liter empat selinder disel turbo.
Jika ini adalah versi terakhir dari platform T6, kita juga dapat menjangkakan peningkatan besar yang mungkin dilakukan oleh Ford. Ia termasuklah penggunaan sistem suspensi multilink yang digunakan pada Ford Everest.