Pandu Uji

Lotus Exige S & Elise S diperkenal

Model-model terbaharu Lotud kini dipamerkan di Pusat Lotus Sungai Penchala. 

2013 memperlihatkan kesungguhan yang jitu daripada Lotus Cars Malaysia. Sejak DRB-Hicom mengambil alih Proton yang juga merupakan pemilik Lotus, khabar angin bertiup kencang mengatakan bahawa jenama Lotus berkemungkinan besar akan dilepaskan oleh Proton. 

“Tetapi, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sejak DRB-Hicom dalam peringkat awal proses pengambilalihan Proton dan semua anak syarikatnya lagi, kami sudah melihat Lotus sebagai sebuah jenama yang akan banyak membantu mengukuhkan imej Proton di pasaran antarabangsa. 

“Salah satu usaha utama yang ingin kami laksanakan adalah menghidupkan semula jenama itu untuk dimanfaatkan. Tidak timbul soal untuk melepaskan Lotus,” ujar Pengerusi Eksekutif Proton Holdings Berhad, Datuk Sri Mohd Khamil Jamil. 

Sebagai membuktikan kesungguhan itu, buat pertama kali dalam sejarah Lotus di Malaysia, sebuah pusat pameran, penyelenggaraan dan operasi khusus bagi menampung segala perkara berkaitan Lotus kini dibuka di Sungai Penchala, berdekatan Mutiara Damansara, Kuala Lumpur. 

“Perasmian dan pembukaan pusat pameran ini secara tidak langsung menjadi bukti kukuh bahawa kami yakin Lotus akan terus mengorak langkah serta kekal bersama Proton,” tambah beliau. 

Turut disasarkan untuk menjadi pusat operasi Lotus bagi menampung keperluan pelanggannya dari rantau Asia Tenggara, fasiliti terbaru yang menelan pelaburan sebanyak RM7 juta itu berada dalam lingkungan kawasan seluas 10,520 meter persegi. 

Bukan itu sahaja, Lotus juga memperkenalkan dua model terbaharu sempena pembukaan bilik pameran berkenaan iaitu Exige S dan Elise S. Kedua-dua jentera itu sudah pun mendapat perhatian di peringkat antarabangsa atas prestasi yang ditonjolkannya. 

Lotud Exige S dan Elise S kini berada di bilik pameran berkenaan. Harga yang ditawarkan ialah RM452,030 (Roadster) dan RM467,230 (Coupe) bagi Lotus Exige S. Sementara harga Elise S ialah RM323,300 (tidak termasuk insurans). 

Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyempurnakan perasmian premis itu nampak optimis dengan hala tuju dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh DRB-Hicom. 

“Berdasarkan kepada tradisi dan kapasiti teknologi Lotus, saya percaya ia akan banyak memberi manfaat kepada Proton untuk terus maju sebagai pengeluar kenderaan nasional,” jelas beliau. 

Selain bilik pameran, premis berkenaan juga dilengkapi dengan keupayaan penyelenggaraan penuh kenderaan Lotus dan pusat jualan cenderahati. Ia juga mempunyai satu ruang khas perjumpaan bagi pelanggan dan pemilik Lotus untuk bersantai dan melakukan aktiviti berkaitan perihal jenama berkenaan. 

Sejak DRB-Hicom mengambil alih Proton, sebuah lagi bilik pameran ‘state-of-the-art’ Lotus dibuka terlebih dahulu di Regent Street, London. “Bersandarkan kepada maklum balas pengunjung, masih ramai yang meminati Lotus dan mengagumi sejarah panjangnya terutama dalam sukan pemotoran antarabangsa,” ujar Khamil. 

Bilik pameran sulung Lotus terletak di Lot 2806, Jalan Damansara, Kg. Sungai Penchala, 6000 Kuala Lumpur. Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web: www.lotuscars.com.

[hr top]

Spesifikasi Exige S

Enjin: 3.5 liter DOHC 24-injap V6 dwi VVT-I, Supercharger Harrop HTV 1320 dari Eaton TVS Technology.

Transmisi: Manual enam kelajuan dengan nisbah sport, ‘constant mesh helical gear’ dan open differential.

Prestasi 0-100kmj: 3.96 saat

Kelajuan maksimum: 274kmj

Kuasa maksimum: 345hp @ 7,000rpm

Tork maksimum: 400nm @ 4,500rpm

[hr top]

Spesifikasi Elise S

Enjin: 1,789cc, 2ZR-FE 4 silinder sebaris DOHC 16-injap dwi VVT-I dengan supercharger Magnuson R900 dari Eaton TVS Technology.

Transmisi: Manual enam kelajuan dengan nisbah sport, ‘constant mesh helical gear’ dan open differential.

Prestasi 0-100kmj: 4.6 saat

Kelajuan maksimum: 234kmj

Kuasa maksimum: 217hp @ 6,800rpm

Tork maksimum: 250Nm @ 4,500rpm

[hr]
Gallery
[hr_invisible]

[hr]
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button