FUNGSI START / STOP BAHAYA PADA ENJIN UNTUK JANGKA MASA LAMA?
Ciri start / stop adalah salah satu ciri yang diperkenalkan pada kenderaan dalam usaha untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dan pada masa yang sama mengurangkan penggunaan bahan api. Ciri ini pada asalnya digunakan oleh kereta dengan teknologi hibrid
Secara asasnya, sistem Start / Stop akan mengesan bila kereta berada dalam keadaaan yang optimum untuk dimatikan enjin dan menghidupkan semula enjin secara automatik apabila pedal minyak ditekan, klac dilepaskan, gear dimasukkan atau stering dipulas
Bagi kereta hibrid moden, enjin akan dimatikan sewaktu kereta pedal brek ditekan, ketika kereta menuruni bukit atau ketika kereta dipandu dalam keadaan santai dengan kuasa yang minima. Malah sesetengah kereta hibrid Honda hanya menggunakan enjin untuk mengecas bateri sistem hibrid
Namun tidak semua pemandu akan menyukai sistem ini, dengan alasan sistem ini akan menyebabkan pemampat penyaman udara mekanikal berhenti dan akan menyebabkan penyaman udara menjadi kurang sejuk. Ciri ini boleh dimatikan dengan menekan butang khas yang ada pada papan pemuka
Motor penghidup yang digunakan oleh sistem Start Stop adalah hampir sama dengan motor penghidup konvensional, namun lebih pantas dan lebih tahan lasak selain menggunakan bateri dengan kuasa yang lebih besar
Sesetengah sistem beroperasi dengan ciri Tandem Solenoid, iaitu 2 solenoid yang digunakan untuk menghidupkan kenderaan dengan lebih lancar. Satu solenoid akan digunakan untuk memutarkan motor penghidup sama dengan kelajuan kenderaan dan satu solenoid lagi akan menyambungkan motor penghidup pada flywheel
Namun ada beberapa pendapat mengatakan bahawa sistem Start / Stop sebenarnya akan memendekkan jangka hayat enjin. Namun secara asasnya sistem Start / Stop moden telah direka untuk beroperasi pada keadaan yang lebih ekstrim.
Antara langkah yang diambil oleh pengeluar kenderaan temasuklah:
1. Suhu yang sesuai – operasi Start / Stop hanya akan berlaku apabila enjin dan minyak pelincir mencapai suhu yang sesuai. Enjin akan dihidupkan semula sekiranya suhu minyak pelincir jatuh secara mendadak. Jadi masalah enapan karbon dan kehausan pada sistem turbo akan dikurangkan dengan ciri ini
2. Minyak pelincir dikekalkan – sebaik sahaja enjin dimatikan, minyak pelincir juga dihalang daripada kembali ke bekas takungan dan akan kekal melincirkan komponen bergerak seperti bearing. Jika kereta biasa akan menggunakan motor penghidup sekitar 50,000 kali, enjin yang dipasang Start / Stop akan dihidupkan dan dimatikan sebanyaj 500,000 kali
Keadaan ini memberi beban yang tinggi pada bearing dan aci engkol sekiranya tiada minyak pelincir yang berada pada kedua dua komponen
3. Rekaan bearing baru – sesetengah pengeluar akan menghasilkan bearing yang menggunakan bahan yang lebih tahan lasak dipanggil sebagai Irox, disalut dengan polimer yang mengandungi Iron Oxide. Rekaan ini menghasilkan permukaan 50% lebih licin berbaning dengan bearing aluminium bagi enjin Start / Stop
4. Minyak pelincir rintangan rendah – jika anda perasan, kebanyakan kereta moden akan menggunakan minyak pelincir kelikatan rendah namun lebih tahan lasak terhadap suhu. Minyak enjin generasi baru ini akan mengurangkan parasitic lost, penggunaan bahan api dan geseran dalam enjin
Kelemahan Sistem Start Stop
Salah satu kelemahan sistem Start / Stop ialah pemilik perlu menukar bateri yang spesifik untuk sistem ini beroperasi dengan sempurna. Bateri plumbum asid boleh digunakan namun jangka hayat bateri ini adalah pendek.
Bateri yang sesuai digunakan ialah bateri enhanced flooded battery (EFB) bagi kereta kecil manakala kenderaan yang besar seperti SUV dan MPV besar akan menggunakan Absorbent Glass Mat (AGM) yang jauh lebih mahal