
GAC EMKOO RAIH PENARAFAN 5-BINTANG ASEAN NCAP
Model terbaharu GAC, iaitu GAC EMKOO, baru-baru ini telah menerima penarafan tertinggi lima bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).
Dalam ujian terbaharu yang dijalankan oleh ASEAN NCAP dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Global NCAP, SUV lima tempat duduk itu memperoleh skor keseluruhan 84.96 mata.
Perincian skor tersebut merangkumi 37.88 mata untuk Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), 16.01 mata bagi Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP), 18.57 mata dalam kategori Bantuan Keselamatan (SA), serta 12.50 mata untuk Keselamatan Penunggang Motosikal (MS).
Model yang dipasang di Malaysia dan China itu dilengkapi dengan ciri keselamatan standard termasuk enam beg udara, Sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Sistem Peringatan Tali Pinggang Keledar (SBR) untuk semua penumpang, brek kecemasan automatik (AEB) untuk bandar, lebuh raya dan pejalan kaki, amaran keluar lorong (LDW), bantuan kekal lorong (LKA), amaran pelanggaran hadapan (FCW), pancaran lampu tinggi automatik (AHB) serta perlindungan pejalan kaki.

Selain itu, teknologi tambahan seperti pengesan titik buta (BSD) dan pengesan penumpang di tempat duduk belakang turut ditawarkan sebagai pilihan.
ASEAN NCAP turut mengesahkan bahawa EMKOO memenuhi penilaian teknologi keselamatan motosikal dengan kehadiran sistem AEB untuk motosikal yang dipasang pada semua variannya.
Hasil ujian pelanggaran hadapan dan sisi menunjukkan struktur kenderaan ini stabil dengan perlindungan mencukupi kepada penumpang, manakala ujian menggunakan patung kanak-kanak menunjukkan tahap perlindungan baik, dibantu pemasangan standard ISOFIX.
Menurut ASEAN NCAP, pencapaian GAC ini membuktikan komitmen pengeluar automotif dari China itu dalam membekalkan teknologi keselamatan canggih pada semua variannya sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna di rantau ini.
Untuk rekod, penarafan ASEAN NCAP bagi tempoh 2021–2025 menilai empat aspek utama iaitu AOP (40 mata), COP, SA dan MS (masing-masing 20 mata).
Tahun 2025 merupakan tahun terakhir penilaian protokol semasa, sebelum peraturan baharu 2026–2030 dilaksanakan bermula Januari depan.