
ALKISAH BMW L7 – SEBUAH MODEL LIMO ISTIMEWA KELUARAN KHAS LENGKAP DENGAN MESIN FAKS
Model BMW 7 Series adalah merupakan model perdana yang dikhususkan untuk merebut kek pasaran untuk segmen sedan mewah. Dengan dimensi yang lebih besar, sudah tentu ianya merupakan pilihan buat pembesar mahu pun perasuah untuk memilikinya. Eh! Eh! Tiberrrr!
Khusus untuk generasi ketiga (E38), BMW pernah menghasilkan sebuah model limo istimewa, BMW L7 dengan jarak titik roda yang telah dipanjangkan sehingga 250 mm pada pilar B bagi menjadikannya keseluruhannya 5.37 m.
Dan rekaan bahagian luarannya barangkali tidak berubah masih lagi sebuah model BMW 750iL secara standard jika dilihat dari bahagian hadapan.
Pun begitu, sudah tentu ruangan kabinnya menjadi taruhan BMW ketika itu untuk menarik minat pembelinya. Sebagai sebuah model limo yang telah dipanjangkan, sudah tentu ruang kaki penumpang di belakang menjadi lebih daripada selesa. Silap haribulan hendak bersila di lantai pun tiada masalah punyalah lapang.

Fungsi ruangan kabin turut dilengkapi dengan mesin faks (inijam mesin faks masih lagi dianggap lebih cepat berbanding penggunaan surat melalui burung merpati untuk berhubung). Untuk lebih privasi, langsir tingkap turut disertakan serta cermin penghadang diantara pemandu dan penumpang untuk lebih privasi.
Paparan skrin tv lengkap dengan pemain VHS (boleh layan cerita Wresting wooo pergi sewa tape kat kedai) serta dulang juga disertakan untuk keselesaan penumpang di belakang.
Walau pun BMW L7 ini mempunyai sedikit beban tambahan (2215 kg berbanding 1995 kg untuk varian asal), namun nadinya masih lagi menggunakan enjin daripada model BMW 750iL, enjin 5.4 liter V12 yang mampu menghasilkan kuasa sekitar 326 HP.
Had kelajuan maksimun pula telah dihadkan hanya 250 km/j. Hati penumpang yang mungkin panas disebabkan mungkin ianya tidak mampu memecut lebih laju pastinya akan disejukkan dengan minuman lembut yang dingin yang boleh dicapai pada peti ais mini yang terdapat di dalamnya.
BMW hanya dapat menghasilkan sekitar 899 unit sahaja untuk L7 ini dengan pasaran yang dijual adalah di Eropah, Timur Tengah dan beberapa negara Asia.
BACA : PERLUKAN KENDERAAN UNTUK BERKELANA – MACAM MANA DENGAN BMW 7-SERIES E65?
BACA : BMW 7 SERIES 2022, REKAAN LUAR YANG SANGAT KONTROVERSI

