GAMBAR TEASER PERTAMA SUBARU WRX 2022 MUNCUL – EVO KAT MANA SEKARANG?
Subaru baharu sahaja mengedarkan sekeping gambar teaser WRX 2022 untuk menggoncang iman peminatnya. Ini mungkin mengesahkan pelancarannya yang dikatakan dalam tahun ini juga.
Ketika pesaingnya Lancer Evo sudah lama menghilang, Subaru masih boleh berbangga dengan WRX mereka yang semakin bergaya dan moden. WRX baharu ini dikatakan masih lagi mengekalkan warisan inspirasi rali mereka gabungan enjin berkuasa dan sistem all-wheel-drive. Dan jika khabar angin sebelum ini menjadi kenyataan, ia juga bakal ditawarkan dengan transmisi manual.
Subaru sebelum ini mengakui yang model baharu ini juga mempunyai beberapa persamaan dengan model konsep Viziv yang mula ditayangkan kepada umum pada tahun 2017. Tapi gambar teaser ni memang misteri habis dan yang jelas kelihatan cumalah skup udara pada bahagian hud depan yang menjadi identity WRX selama ini.
Kuasanya bakal dijana oleh enjin 2.4L FA24F flat-four turbo yang mampu menghasilkan lebih 300 hp kuasa dan mungkin menghampiri 400 hp bagi versi STI. Malah ia juga masih mengekalkan konsep asal tanpa bantuan motor-motor elektrik sekaligus menyebabkan ia tidak akan dipasarkan di Eropah kerana peraturan emisi yang ketat di sana. Peduli apa, lagi la bagus kerana lebih banyak akan dipasarkan di sebelah sini.
Rupa luaran mungkin mudah dikenali dengan sudut-sudut tajam di bahagian hadapan dan lampu utama LED berbentuk huruf C. Harap-harapnya dapat sikit-sikit rupa Viziv jadilah.
Bahagian dalaman Subaru jarang menghampakan, malah kami sendiri lebih sukakan dalaman Impreza berbanding Evo sebelum ini. Entah kenapa tetapi berada di tempat duduk bucket Subaru memang memberikan feel yang berbeza.
WRX 2022 ini bakal dilancarkan kepada umum bulan hadapan katanya. Jadi tunguuuu.