SUBARU WRX tS (TUNED BY STI) UNTUK AMERIKA SYARIKAT!
Tidak semua Subaru WRX itu sama. Jika berkenan, anda perlu selidiki edisi mana yang dihajatkan.
Perbezaan terletak pada perkakasan seperti brek, penyerap hentak manakala spoiler tinggi bukan kewajipan untuk WRX.
Terbaru Subaru memperkenalkan WRX tS (tuned by STI) untuk pasaran Amerika Syarikat dan menyusul selepas BRZ tS pada 2023.
Varian terbaru ini dilengkapi suspensi talaan STI dengan peredam kawalan elektronik yang sebelum ini hanya ditawarkan pada WRX G .
Menggerakkan WRX tS ialah 2.4 liter Boxer turbo tanpa ubah suai yang menghasilkan 271 kuasa kuda (hp) dan dipadan bersama kotak gear manual enam kelajuan dan dilengkapi Active Torque Vectoring sebagai ciri asas.
Di sebalik rim 19 inci warna kelabu satin ialah brek Brembo enam omboh di depan dengan angkup warna emas dan dua omboh di belakang.
Set brek menggunakan cakera dan pad lebih besar untuk pemberhentian dan rasa pedal lebih baik dan kalis pudar (fade).
Juga standard tayar Bridgestone Potenza S007 245/35 R19 untuk cengkaman basah dan kering serta prestasi pembrekan lebih baik.
Memandangkan WRX tS menggunakan peredam kawalan elektronik, fungsi Drive Mode Select membolehkan pemandu memilih tetapan Comfort, Normal atau Sport mengikut keperluan.
Pada bahagian luar, perumah cermin sisi, antena sirip ikan yu dan spoiler belakang dibuat dalam warna Crystal Black Silica. Bahagian belakang ditampal logo tS.
Pada bahagian dalam, WRX tS dilengkapi gugusan meter digital 12.3 inci baharu yang lebih mudah dibaca.
Kerusi Recaro Recaro Performance Design tampil ikonik dengan balutan biru dan sulaman WRX tS yang terpampang besar pada penyandar kepala. Kerusi pemandu mempunyai lapan larasan berkuasa.
Riasan biru turut diguna pada perkakasan lain seperti stereng, panel pintu dan sarung tombol gear. Logo STI tertera pada butang penghidup.
Bagi mengurangkan berat, WRX tS hadir tanpa bumbung kaca selain menyediakan ruang tambahan untuk topi keledar dan merendahkan pusat graviti.
Sistem SUBARU STARLINK Multimedia Plus 11.6 inci dijadikan ciri asas dan skrin tengah berfungsi untuk multimedia, kawalan suhu dan tetapan kereta.
Teknologi bantuan pemanduan Eyesight merangkumi sistem Kawalan Suai Pandu, Sistem Pembrekan Pra Pelanggaran, Amaran Penukaran Lorong dan Huyung dan Peringatan Pergerakan Kereta Depan.
Awal diperkenal, Subaru WRX tS akan berada di bilik pameran pengedar pada suku pertama 2025.