Buletin

GANDINGAN TUNKU PUTERA JOHOR – LUCA STOLZ RAIH PODIUM DI FANATEC GT WORLD CHALLENGE ASIA DI SUZUKA

Siri perlumbaan Fanatec GT World Challenge Asia di Suzuka baru-baru ini menyaksikan Johor Motorsports Racing berjaya meraih podium, hasil daripada pemanduan mantap daripada Yang Amat Mulia Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor, dan rakan lumbanya Luca Stolz.

Secara keseluruhan, Tunku Abu Bakar dan Stolz melangkah ke kedudukan kedua dengan perlumbaan masih berbaki separuh daripada kejuaraan.

Stolz, menerusi jentera Mercedes-AMG #88 yang dikuasakan oleh Triple Eight Race Engineering, bermula dengan baik untuk memberi tekanan kepada pelumba lain.

Sementara, Tunku Abu Bakar juga berhasil memastikan kedudukan terbaik terjamin, sekali gus membolehkan gandingan itu kekal bersaing.

Dalam perlumbaan yang sama, Duli Yang Maha Mulia Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan rakan lumba Broc Feeney menduduki tempat ke-18.

Selepas menghabiskan sebahagian besar perlumbaan merebut kedudukan 10 teratas, insiden lewat menyaksikan #888 Mercedes-AMG GT3 terpaksa berpuas hati dengan kedudukan akhir.

Sehari sebelumnya, kedua-dua gandingan pemandu Pasukan JMR mengharungi perlumbaan pembukaan sukar pada hujung minggu, dengan Tunku Abu Bakar dan Stolz menduduki tempat ke-20, manakala Tunku Abdul Rahman serta Feeney di tempat ke-22.

Dalam kedudukan kejuaraan GT3, Stolz dan Tunku Abu Bakar kini berada di tempat kedua, hanya 10 mata di hadapan, manakala Pasukan JMR Racing di kedudukan ketiga dalam kejuaraan pasukan.

Untuk rekod, pusingan ketujuh dan lapan Fanatec GT World Challenge Asia 2023 bakal diadakan di Motegi hujung minggu depan, pada 21-23 Julai.

Google ads
Back to top button