Buletin

3 PELUMBA SIMULATOR BAWA CABARAN NEGARA PADA PERLUMBAAN TOYOTA GAZOO RACING GT CUP ASIA

Tiga pelumba simulator bakal membawa cabaran negara pada perlumbaan Toyota GAZOO Racing GT Cup Asia yang akan berlangsung 16 Oktober 2021 ini.

Perlumbaan anjuran Toyota Motor Asia Pacific (TMAP) itu bakal menyaksikan pasukan Malaysia diwakili Taj Izrin Aiman Taj Madira, Muhammad Iqbal Ahmad Suji dan Nabil Azlan berentap dengan pelumba elit dari Singapura, Indonesia, Thailand, Korea, India serta Taiwan.

Mereka akan merebut slot ke TGR GT Cup Global Finals yang menawarkan hadiah tunai bernilai AS$6,000 (RM24,948).

Taj Izrin Aiman yang merupakan penyandang Naib Juara kejohanan tahun lalu dijangka memberi saingan merebut kejuaraan pada kali ini.

TGR GT Cup Asia akan menampilkan empat perlumbaan di mana setiap pelumba akan dikira berdasarkan mata diperoleh mereka.

Perlumbaan pembukaan akan menyaksikan para pelumba mengendali jentera GR Yaris sebanyak lima pusingan di Tokyo Expressway sejauh 7.3 km.

Sebanyak 10 peserta yang berjaya akan meneruskan cabaran sejauh 4.5 km di litar Fuji Speedway dengan memandu jentera GR Supra.

Pada tahun ini, Toyota GR 86 turut membuat kemunculan apabila para pelumba akan memandu jentera itu di litar Spa-Francorchamps, Belgium yang akan turut menampilkan hentian pit mandatori dan penukaran tayar.

Perlumbaan terakhir akan berlangsung di litar bersejarah Le Mans sepanjang 13.6 km dengan menggunakan jentera TS 050 Hybrid.

Menurut Taj Izrin Aiman, perkara paling penting adalah mengekalkan tumpuan dan konsisten dalam kesemua empat perlumbaan.

“Kita tidak boleh melakukan kesilapan dalam empat perlumbaan berkenaan kerana akan menyukarkan menempatkan diri dalam slot akhir,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Motorsport GAZOO Racing Malaysia, Akio Takeyama berkata, e-racing yang mendapat tempat di dalam negara dan rantau ini mampu mencungkil bakat-bakat pelumba simulator.

“Perlumbaan merupakan sebahagian daripada warisan penting Toyota. Ia berlaku pada dunia nyata dan alam maya pada hari ini,” katanya.

Google ads
Back to top button