
RAAT THAILAND RALLY CHAMPIONSHIP 2023: HJ SUTAN MUSTAFFA KEMBALI BERSAING UNTUK PUSINGAN KETIGA
Pelumba berpengalaman, Hj Sutan Mustaffa bin Salihin bakal kembali bersaing untuk pusingan ketiga bagi acara RAAT Thailand Rally Championship 2023 pada 21 hingga 23 Julai ini.
Terdahulu, beliau terpaksa melupakan hasrat menyertai pusingan kedua Mei lalu kerana masalah penaja namun kali ini beliau bersedia mencabar pemenang-pemenang pusingan sebelumnya bagi kategori RC-1 (Super 4WD).
Hj Sutan Mustaffa akan dibantu oleh Juru Arah berpengalaman iaitu Shahrol Zainal dan mempertaruhkan jentera Subaru Impreza WRX 2000cc 4WD Turbo.

Untuk rekod, ia adalah kereta yang sama digunakan dalam Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022 dan Thailand Rally 2022 tahun lalu.
Pasukan ini adalah hasil usahasama dari Kelab Sukan Permotoran Pengembaraan Millennium (MMAC) serta dibantu rakan pasukan dari SMS Motorsport & Driving (SMS), Secret Service Garage (SSG), Spaceport, Millers Oil, Edge Racing dan Superman Print Lab (SPL).
Segala persiapan sudah lengkap dilakukan dan pasukan ini bersedia memberikan cabaran untuk mengukir nama sekali lagi sebagai antara pemenang dalam pusingan ke-3 RAAT Thailand Rally Championship 2023.

“Kami melakukan perancangan sejak bulan Mei yang lalu termasuk meningkatkan keupayaan jentera lumba Subaru itu sendiri, persiapan kecerdasan pelumba selain, menghubungi rakan-rakan di Thailand bagi mendapatkan maklumat untuk memudahkan penyertaan dalam pusingan ke-3 ini.”
Selain itu, penyertaan kali ini turut disertai oleh pelumba baru dalam sukan rally di Malaysia, Ezamin Ezham Ismail, sambil dibantu oleh Juru Arah Fazrul Akmal Khalid. Lebih dikenali sebagai Zam Garage, beliau mempertaruhkan kereta Perodua Myvi 4WD Turbo dalam Pusingan ke-3 kali ini.
Dalam pada masa yang sama, Hj Sutan Mustaffa dan Ezamin Ezham juga melahirkan rasa kecewa kerana sukan rally di Malaysia sudah terkubur sejak tahun 2019, bahkan tiada tanda-tanda akan dianjurkan semula oleh mana-mana pihak.
Justeru, ramai pengemar sukan rally berharap kerajaan di bawah Kementerian Belia & Sukan Malaysia dapat melakukan sesuatu bagi menghidup serta mengembalikan kegemilangan sukan rally di negara kita.
- BACA: RALLY SHAKEDOWN 2023 DI TANAMERA. TAKKAN NAK SHAKEDOWN AJA. AJOOM LAH KITA KE THAILAND
- BACA: ERC 2023 – OLIVER SOLBERG MENANG DI BUMI SENDIRI BAUHAUS ROYAL RALLY OF SCANDINAVIA
- BACA: MITSUBISHI TRITON 2023 DIGUNA DALAM ASIA CROSS COUNTRY RALLY 2023!
- BACA: STADIUM TOYOTA BAKAL MENJADI VENUE BAGI RALLY JAPAN


