Buletin

GANGGU TUGAS POLIS PENGIRING, LELAKI TERIMA PADAH

Seorang pekerja sebuah syarikat penyelenggaraan bangunan direman empat hari bagi membantu siasatan melibatkan kejadian di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala susur masuk Jalan Sultan Abdul Halim, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek sebelum ini diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi pada Sabtu.

“Suspek berusia 36 tahun merupakan lelaki warga tempatan diberkas kira-kira jam 1.30 petang.

“Siasatan mendapati, suspek yang memandu sebuah kereta telah menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya dengan memandu secara gopoh,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku semasa anggota polis terlibat dalam tugas mengiringi orang kenamaan melalui lokasi kejadian.

“Suspek yang diberkas kemudian direman selama empat hari bagi tindakan selanjutnya.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 10 Mei di bawah peruntukan Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai diberi amaran agar tidak terlibat dengan apa sahaja kesalahan melanggar undang-undang. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button