
GAYA TERSENDIRI VW BEETLE DENIM
Jika Australia menamatkan jualan Volkswagen Beetle kerana sambutan yang kian merudum, lain pula ceritanya di Amerika Syarikat (AS).
Volkswagen of America Inc. baru-baru ini memperkenalkan edisi terhad Beetle Convertible 1.8T Denim 2016. Model itu dihasilkan sebagai tribute kepada jentera Jeans Bug pada tahun 1970-an
Lebih menarik lagi, hanya 2,000 unit Beetle Denim akan ditawarkan di AS. Dikuasakan oleh enjin 1.8 liter TSI dengan sistem pengecas turbo dan pancitan terus, ia berupaya menjana kuasa sekitar 170PS.
Beetle Denim menawarkan dua warna luaran iaitu putih dan biru. Bumbungnya menggunakan fabrik khas berwarna biru gelap yang mempunyai tekstur seperti denim.
Pada ruang kabin pula, ia menampilkan papan pemuka berwarna biru muda. Sementara tempat duduknya mempunyai poket bersama bendera Beetle berwarna merah.
Antara ciri standard lain yang ada pada Beetle Denim termasuklah sistem infotaimen Volkswagen MIB II. Ia terdiri daripada skrin sentuh bersaiz lima inci, slot kad SD, ketersambungan iPhone, iPod, kamera undur dan banyak lagi.