Motosikal

YAMAHA MT-09 – TASMANIAN DEVIL

Motor ini saya ambil dari Yamaha Sg Buloh pada penghujung tahun lepas. Dek kerana kesibukan tugas, ia terpaksa diperam dalam hard disk saya.

Yamaha-MT-09-test-ride-mekanika (2)

Masa nak menulis, idea pula tak datang. Sekarang saya sedang uji Kawasaki Versys, sebuah touring Dual Purpose. Versys di bawah pejabat itulah yang beri ilham untuk saya menulis tentang MT09. Pelik ke kelakar ni?

Kita sedia maklum waktu Yamaha mengambil keputusan ‘berperang’ dengan Triumph Street Triple di Eropah, Triumph telah menghasilkan naked roadster yang sangat luar biasa.

Yamaha-MT-09-test-ride-mekanika (22)

Sejak 2007, Triumph berjoli sakan dengan naked 3 selinder yang tiada dalam pertandingan. Jualannya rancak, ia sebuah naked yang memonopoli jualan dengan resepi mudah. Roadster murah, ringan, berkuasa, ekonomikal dan pengendalian yang menakjubkan.

Pada tahun 2013, Yamaha muncul dengan MT09 dilengkapi enjin serba baru 3 selinder, 115hp dan berat bersih 188kg. Walaupun sebelum ini Yamaha memiliki pasaran naked menerusi model FZ, ternyata model serba baru ini mensasarkan golongan pembeli pertengahan. Jurutera cuba menghasilkan motosikal dua alam serba boleh, sebagai ‘skuter’ di hari bekerja dan raksaksa pada hujung minggu.

Yamaha-MT-09-test-ride-mekanika (6)

Enjin baru 847cc ini sangat responsif untuk kategori naked roadster. Sewaktu keluar dari ibu pejabat Yamaha pun, saya terpaksa berhenti beberapa kali untuk menyesuaikan kaedah tunggangan dan Power Mode yang dilaraskan.

Di paparan meter terdapat pilihan STD, A dan B. Dalam talaan asal, ia terletak pada mode STD setiap kali kunci dihidupkan. Pada mode ini pun, pendikit daripada sistem YCCT-T (Yamaha Chip Controlled Throttle) ini berasa sangat responsif. STD je pun? Bukan STD maksudnya standard?

Yamaha-MT-09-test-ride-mekanika (4)

Kemudian cuba pula ke mode A – Nah, rasa macam ‘Slick’ mode pada S1000RR. Saya sudah tunggang bermacam-macam jenis naked dan boleh dikatakan MT09 ni terlalu buas untuk dikawal.

Kadang-kala saya rasa jurutera terlalu berlebihan dalam menala enjin pada mode yang mungkin hanya diperlukan pada sportbike. Kesudahannya, saya kekal dalam mod B. Ya, dengan B anda masih boleh ‘menyakat’ 600cc 4 selinder di Lebuhraya Karak. Pendikit lebih mudah dijangka pada mod ini dan masih rasa macam respon dari enjin 4 selinder dan bukannya 3!

Yamaha-MT-09-test-ride-mekanika (10)

Kedudukan tunggangan motor ini menjadikannya key point dari sudut jualan. Kerusinya direka menirus ke hadapan dan melebar ke belakang. Walaupun pelananya sedikit keras, realitinya ini ialah naked yang cenderung menjadi Supermoto/motard (macam Ducati Hypermotard, Aprilia Dorsoduro) berbanding naked ke arah roadster (Kawasaki Z800, BMW F800R, Suzuki GSR 750, Aprilia Shiver).

Biarpun begitu, MT09 selesa ditunggang di bandar. Bar hendalnya cukup lebar dengan kedudukan tunggangan hampir tegak. Dengan berat keseluruhan kurang 190kg, MT09 lebih mudah mencelah dan keluar masuk parkir tidak menjadi isu.

Yamaha-MT-09-test-ride-mekanika (12)

Cuma pada kelajuan tinggi terasa suspensi depannya ‘terapung’ jika dibandingkan dengan motosikal 4 selinder. Saya kira, pemasangan damper hendal aftermarket boleh selesaikan isu ini.

Suspensi belakang MT09 ni agak keras macam Mercedes-Benz A45 AMG atau Honda FD2 Type R. Lebih mirip kepada suspensi sportbike berbanding roadster. Dengan konsep fun naked yang senang sangat nak wheelie, suspensi begini menjadi wajib.

Yamaha-MT-09-test-ride-mekanika (9)

Lazimnya konsep begini diintegrasikan dengan penyerap hentak boleh laras, tapi itu menjadikan harga mana-mana motosikal lebih mahal. Lebih afdal kalau ada pelaras damping elektronik kan? Tapi mungkin harganya akan jadi sama dengan MV Agusta Brutale!

Enjin generasi crossplane ini beraksi cemerlang pada mana-mana RPM tanpa perlu kerap menukar gear. Baik di 3,000rpm hingga 1,1000rpm, maklum balas daripada pendikit cukup responsif.

Yamaha-MT-09-test-ride-mekanika (7)

Getaran pada 6,000rpm ketika gear tinggi masih boleh dipuji untuk sebuah motosikal 3 selinder sebaris. Kedudukan pemijak kakinya juga berada pada posisi yang tepat dengan kelegaan tanah yang membolehkannya dilabel sebagai naked.

Kalau anda betul-betul nak uji prestasinya, lebih baik sarungkan tayar Pirelli SC2 atau setidak-tidaknya BSB.

Yamaha-MT-09-test-ride-mekanika (20)

Kalau ada benda yang saya tak suka tentang MT09 ialah suis sebelah kiri. Posisi suis isyarat dan hon tidak egronomik. Sepatutnya ikut sahaja standard industri, hon duduk di bawah suis signal.

Ini letak bahagian atas signal lepas tu ke dalam pula. Acapkali saya tersalah tekan hon bila nak membelok. Mesti orang tengok saya pandang sipi-sipi dan kantoi lah motor pinjam!

Yamaha-MT-09-test-ride-mekanika (8)

Pasaran hari ini menyaksikan motosikal naked berkembang cukup pantas. Motosikal masih lagi digemari sebagai pengangkutan harian yang ekonomikal dan praktikal.

Jika anda bercadang mencari sebuah naked yang mengaburi mata isteri di hujung minggu ke Lemang To’Ki, MT-09 adalah paling sesuai dan tidak merabakkan poket. Kalau rasa kurang yakin dengan kemahiran, mahukan yang lebih santai dan mudah dikendalikan, Yamaha ada MT-07.

Yamaha-MT-09-test-ride-mekanika (1)

Apa lagi pilihan yang ada? Memandangkan harga pasaran motosikal di Malaysia bergantung pada CKD dan CBU, MT09 pemasangan tempatan ini masih lagi paling bernilai untuk wang. Harga jualannya ialah RM44,000 berbanding Street Triple RM50,000 atau saudara 3 selinder MV Agusta Brutale 800 berharga RM75,000.

Itu kalau lihat dari sudut enjin. Kalau banding dengan konsep, MT09 bersaing dengan Ducati Hypermotard (RM57,000), Kawasaki Z800 (RM49,000), BMW F800R (RM49,000) dan Suzuki GSR 750 (RM51,000).

Yamaha-MT-09-test-ride-mekanika (19)

Kalau rasa nak lebih murah boleh pilih MT-07. Harganya lebih kurang RM36,000 seunit, sama dengan Aprilia Shiver. Jangan lupa kepada Honda CB650 empat selinder yang berharga  RM41,000 atau Honda CB500F yang lebih murah.

Hakikatnya, ini bukan tahun 1997, sekarang milenia 2017. Kita ada terlalu banyak pilihan berbanding zaman saya mula-mula dapat lesen B full dulu. Nak beli pun tak serumit zaman pinjaman dengan kadar faedah 10% dan bayar balik 5 tahun.

Yamaha-MT-09-test-ride-mekanika (21)

Sebaik-baiknya, anda tunggang uji dulu motosikal yang nak dibeli. Jangan percaya 100 peratus apa yang ditulis sebab karekter pemanduan setiap orang tak sama.

Sesetengah orang anggap 80hp dah laju macam roket sebab motor hariannya Yamaha Ego. Setengah orang pula cakap 115hp tu perlahan sebab motor hujung minggunya ialah Panigale R.

Jadi, tepuk poket, tengok akaun bank.. chiaa..chia..chia..!!!!!!

Google ads
Back to top button