Buletin

GEELY BERJAYA DAPATKAN 7.6 PERATUS SAHAM ASTON MARTIN LAGONDA

Geely Holding hari ini umumkan yang mereka memperolehi 7.6 peratus pegangan dalam Aston Martin Lagonda. Ini bermakna satu lagi pertambahan dalam portfolio automotif mereka.

Dalam satu pengumuman, Daniel Donghui Li, CEO Geely Holding Group menyatakan yang mereka sangat gembira dengan pelaburan mereka bersama Aston Martin dan percaya mereka mampu menyumbang kepada masa depan Aston Martin berdasarkan rekod dan teknologi yang mereka ada.

Geely juga turut berhasrat untuk meneroka peluang-peluang baharu dan bekerjasama dengan Aston Martin dalam meningkatkan keuntungan serta pencapaian keduanya untuk jangka masa panjang.

Geely merupakan kumpulan syarikat teknologi automotif milik swasta terbesar di China. Mereka juga merupakan pemilik Volvo, Polestar, Lynk&Co, Zeekr, Lotus dan LEVC. Mereka juga turut mempunyai 50 peratus pegangan dalam Smart dan 9.69 peratus pegangan dan Daimler.

Ini bukan kali pertama syarikat China ini menunjukkan minat terhadap Aston Martin. Khabar mengenainya sudah mula kedengaran sejak tahun 2020, sebelum Lawrence Stroll menguasai Aston Martin dengan sejumlah pelaburan yang besar.

Pegangan saham Geely dalam Aston Martin Lagonda juga membolehkan syarikat British itu mendapat akses kepada alat-alat ganti untuk model mereka yang akan datang. Ia juga bakal memastikan masa depan yang lebih baik untuk Aston Martin sejurus menerima perkhabaran tentang pelaburan dari Saudi Public Investment Fund (PIF) yang diumumkan Julai lepas.

Jumlah pegangan Geely bagaimanapun lebih kecil berbanding pengerusi Aston Martin Lagonda, Lawrence Stroll (18.3 peratus), PIF (16.7 peratus) dan Daimler (9.7 peratus).

Jadi macam mana lepas ni? Ada peluang tak kereta-kereta Proton akan mendapat sentuhan Aston Martin? Tak salah berharap kan? Silap-silap James Bond pun pandu Proton lepas ni.

Google ads
Back to top button