Buletin

LORDSTOWN MULAKAN PRODUKSI TRAK PIKAP ELEKTRIK ENDURANCE, BARU 3 UNIT KELUAR KILANG

Syarikat pemula kenderaan elektrik Lordstown Motors mengumumkan kehadiran sebuah model trak pikap elektrik yang bakal menjadi pencabar kepada Tesla Cybertruck pada penghujung 2019.

Namun, setelah beberapa tahun berlalu, syarikat itu akhirnya memulakan secara rasmi proses pemasangan trak pikap elektrik yang dinamakan sebagai Endurance itu.

Proses pemasangan trak Endurance itu mengambil tempat di fasiliti Foxconn EV Ohio, namun buat masa ini hanya dua unit sahaja trak pikap yang sudah berjaya dipasang, di mana unit ketiga dijangka akan siap dipasang ‘dalam masa terdekat’.

Tiga unit awalan ini merupakan sebahagian daripada kumpulan pertama yang terdiri daripada 500 unit yang dijadualkan akan dibina menjelang separuh pertama tahun 2023.

Lordstown Motors menjangkakan jumlah pengedaran trak kepada pelanggan sebanyak 50 unit pada tahun ini, dan selebihnya pada tahun 2023, namun ini semua tertakluk kepada pengumpulan modal yang mencukupi.

Antara punca yang menyebabkan kelewatan produksi termasuklah kekangan bekalan komponen yang kini menjadi satu masalah yang memeningkan mana-mana pengeluar di peringkat global.

Lordstown Endurance dikuasakan oleh empat motor elektrik yang dipasang pada hab tayar, dengan kuasa keseluruhan kira-kira 600 hp, dan jarak operasi sejauh 320 km untuk sekali cas penuh (data EPA). – InsideEVs

Google ads
Back to top button