Buletin

GEELY BO RUI GE – PLUG-IN HYBRID, 1.5L TURBOCHARGED, 1.6L/100KM

Abang Japar sekarang berada di Beijing, China untuk menghadiri acara Beijing Auto Show 2018.

Hari ini, Geely Auto memperkenalkan model sedan flagship keluarannya, Bo Rui GE. Jentera plug-in hybrid tersebut dipertontonkan kepada umum oleh Naib Presiden Kanan Reka Bentuk Geely, Peter Horbury.     

“China kini muncul sebagai pasaran automotif terbesar dunia yang menyumbang sebanyak 40 peratus kepada jualan global atau 30 juta unit kenderaan baharu setiap tahun,” jelas Horbury.

BACA: GEELY LANCAR KERETA PERTAMA DENGAN ENJIN VOLVO PLUG-IN HYBRID 3 SILINDER

Tidak dapat dinafikan bahawa sedan segmen D itu mempunyai penampilan yang menarik. Ia menggunakan lampu utama dan belakang dengan efek 3D seperti kipas tradisional China.    

Bahagian dalamannya menampilkan rekaan mewah dengan papan pemuka Full Vision yang mula diperkenalkan ke atas model Emgrand Concept pada tahun 2015. Geely turut mengetengahkan ekosistem pintar GKUI, satu panel infortaimen yang terhubung sepenuhnya.  

Geely Bo Rui GE dilapor menggunakan enjin tiga silinder dengan pengecas turbo yang turut dipasang pada Volvo XC40 T3. Enjin bersesaran 1.5 liter itu kemudian dipadankan bersama kotak gear automatik klac berkembar tujuh kelajuan.

Turut dipasang dengn pek bateri dan motor elektrik, rangkaian kuasa tersebut didakwa mampu mencatat penggunaan bahan api mengagumkan iaitu hanya 1.6 liter bagi setiap 100km.    

Pemandu boleh menukar ambien kabin dengan tiga mode pemanduan iaitu merah, biru dan emas. Terdapat juga dua lapis konsol yang menempatkan Hab Tenaga Geely untuk mengecas peranti secara tanpa wayar.    

Bo Rui GE menggunakan material mewah dan berteknologi tinggi. Selain kemasan brushed metal, jentera itu juga hadir dengan ciri kunci pintar sebagai pilihan.

Sebagai sebuah kenderaan plug-in hybrid, Bo Rui GE membawa Geely lebih hampir kepada Blue Geely Initiative, di mana pengeluar kereya itu mahu menghasilkan lebih banyak kenderaan yag dijana oleh sumber tenaga baharu menjelang tahun 2020.  

Geely mensasarkan untuk menjual 90 peratus kenderaan bertenaga baharu yang berdasarkan kepada tiga teknologi utama iaitu kenderaan elektrik sepenuhnya (EV), plug-in electric (PHEV) dan hybrid electric (HEV).

Bo Rui GE dijangka berada di pasaran China menjelang suku pertama tahun ini, sebelum diperluaskan ke negara-negara lain.

Selain model ini, Geely ada menawarkan Bo Rui dengan enjin berkuasa 1.8 (184hp), 2.4 liter (162hp) dan varian GT.  

Google ads
Back to top button