Buletin

ANAK SYARIKAT GEELY AUTO JALIN KERJASAMA DENGAN AISIN AW – MAHU HASILKAN 400K KOTAK GEAR 6 KELAJUAN AUTOMATIK SETAHUN

Langsung dari Beijing Motor Show 2018.

Anak syarikat Geely Auto Holding Group Limited (Geely Auto), Geely Luo You Engine Company Limited hari ini telah menjalin satu kerjasama baru dengan Aisin AW Company Limited (Aisin AW).

Kerjasama itu bertujuan untuk memproduksi 400,000 unit kotak gear enam kelajuan automatik, alat ganti dan jualan komponen terbabit setiap tahun.

Di bawah kerangka kerja perjanjian itu, kerjasama tersebut melibatkan modal berdaftar sebanyak AS$117 juta (RM457 juta). Aisin menyuntik pelaburan berjumlah AS$70 juta (RM273 juta) dengan menguasai 60 peratus saham.

Sementara Geely Luo You pula melabur sebanyak AS$46.8 juta (RM183 juta) dan menerima baki 40 peratus saham.  

Aisin yang ditubuhkan pad tahun 1969 memang terkenal sebagai pengeluar kotak gear automatik dan menguasai pasaran terbesar komponen itu di dunia.

Dengan pelancaran dua strategi utama Geely iaitu ‘20200 Strategy’ dan ‘Blue Geely Initiative’, Geely dijangka mempunyai permintaan lebih tinggi terhadap kotak gear automatik enam kelajuan yang lebih maju.

Kerjasama itu juga membolehkan Geely memperkenalkan produk-produk baru yang sesuai dengan kehendak semasa pelanggan. Selain mengutamakan aspek penjimatan, keselesaan dan pemanduan mengujakan.

Menerusi kerjasama itu, Geely mampu mengambil bahagian dalam pengurusan operasi, selain mengurangkan kos pembelian transmisi dan menjadi lebih efisien.

“Kerjasama dengan Aisin membolehkan Geely meningkatkan kecekapan dalam pembangunan dan penghasilan rangkaian kuasa. Ia juga berupaya mempercepatkan 20200 Strategy dan Blue Geely Initiative kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Geely Auto Group, An Conghui.  

Google ads
Back to top button