" "
Buletin

GEELY COOLRAY TERJUAL 1 JUTA UNIT!

Tahukah anda? Jualan Proton X50 sejak diperkenal pada Oktober 2020 sehingga Disember 2024 telah mencecah 125,399 unit dan layak meletakkannya sebagai ayam tambatan PROTON.

Sebagai perbandingan, jualan Exora sejak 2009 berjumlah 181,290 unit. Ini menunjukkan citarasa pengguna terletak pada X50 dan wajar dijadikan penanda aras untuk model-model baharu.

Bukan sahaja di pasaran tempatan, Geely Coolray yang merupakan kembar dekat X50 turut mendapat sambutan hangat di peringkat dunia dengan jualan sudah mencecah satu juta unit!

Coolray merupakan model Geely dengan jumlah eksport tertinggi dan paling banyak memasuki pasaran antarabangsa.

Sejak dilancar pada 2018, Coolray telah dijual di lebih 50 buah negara dan menjadi pilihan pelanggan di Eropah Timur, Timur Tengah, Afrika, Asia Pasifik dan Amerika.

Coolray digemari kerana prestasi kuasa yang dinamik, rekaan berjiwa muda dan ciri-ciri pintar yang memudahkan pemanduan.

Pasukan pembangunan Coolray atau Binyue wajar menerima pengiktirafan dan penghargaan istimewa kerana berjaya menghasilkan produk bagus dan digemari di serata dunia.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B ini mula dihantar ke luar negara pada 2019 dan memasuki pasaran Filipina, Arab Saudi, Qatar, Kuwait dan beberapa lagi.

Pada 2023 Geely Auto International memperkenalkan Coolray baharu (rekaan depan dan belakang berbeza daripada X50) di Chile, Kazakhstan dan Mexico.

Dari segi sambutan, Coolray menduduki tempat pertama berbanding jenama lain di Algeria dalam tempoh setahun pelancarannya pada Mac 2024.

Coolray juga menduduki tempat ketiga teratas berbanding jenama lain di Kuwait dan menerima sambutan menggalakkan di Arab Emiriyah Bersatu dengan lonjakan 80.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Coolray turut menerima sambutan baik di Oman dan Bahrain. Di negara Amerika, Coolray berada di tempat ketiga teratas berbanding jenama lain di Panama dan menunjukkan permintaan yang semakin meningkat sejak 2022.

Coolray merupakan SUV pertama yang dibangunkan dari Seni bina Modular Segmen (BMA).

Model baharu dikuasakan enjin 1.5 liter turbo empat silinder dan kotak gear cekam berkembar tujuh kelajuan generasi baharu.

Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 7.6 saat. 

Dari segi rekaan, bahagian luar menggunakan konsep Energy Burst dan Energy Awakening untuk bahagian dalam.

Rekaan depan yang menonjol membawa tema Energy Storm dengan jeriji Robust Air Inlet Grille dan riasan merah. Bahagian sisi menyerlah dengan rim 18 inci gaya Tomahawk dan angkup brek merah.

Bahagian dalam dilengkapi skrin meter LCD 10.25 inci dan skrin maklumat hibur 12.3 inci.

Dari segi keselamatan, Coolray dilengkapi ICC, AEB, APA dan pelbagai lagi termasuk sistem kamera Eagle Eye 540°.

Sebagai SUV strategik global, Coolray hadir dengan ciri berbeza mengikut keperluan. Sebagai contoh cermin berinsulasi di Timur Tengah bagi mencegah panas.

Di Eropah Timur dengan cuaca sejuk melampau, Coolray dilengkapi fungsi pemanas pada kerusi depan, belakang, stereng dan beberapa lagi.

Kerusi depan dengan pengudaraan disediakan di Asia Pasifik dan Timur Tengah.

Google ads
Back to top button