" "
Buletin

GWM ORA 03 GT, DARI KUCING COMEL KEPADA GARANG!

Seperti pengeluar China lain, GWM turut memasarkan produk mereka di United Kingdom (UK). Model yang sama di pasaran tempatan iaitu ORA Good Cat juga boleh didapati di sana.

Cumanya ‘Kucing Baik’ dipanggil ORA 03. Untuk 2025 GWM mengemaskini 03 termasuk penambahan varian baharu 03 GT.

Bukan sahaja nama, kucing yang comel bertukar garang dengan bampar sporti, peresap belakang, spoiler besar dan riasan merah.

Di UK, ORA 03 bermula dengan varian Pure yang dikuasakan bateri LFP 48 kilowatt-jam (kWj) dan boleh dipandu sehingga 309 kilometer (km).

03 Pure dilengkapi skrin maklumat hibur 10.25, navigasi satelit, pengecas telefon tanpa wayar dan sambungan Bluetooth.

Berada di UK, piawaian keselamatan perlu tinggi dan semua varian dilengkapi Bantuan Pengekalan Lorong, Amaran Penukaran Lorong, Pengelakan Pintar dan Bantuan Lampu Puncak.

Turut dilengkapi Bantuan Kesesakan Lalu Lintas, Brek Kecemasan Automatik dengan pengesanan pejalan kaki dan penunggang basikal, Amaran Titik Buka dan Kawalan Pandu Boleh Suai.

Di uji Euro NCAP, 03 mendapat penarafan lima bintang.

Ciri-ciri asas masih belum tamat dan 03 dilengkapi kamera 360 darjah, kamera undur, sistem pengecaman wajah dan cermin pandang belakang automatik malap.

ORA 03 Pro dibekalkan bateri litium ternari (tiga unsur) 63 kWj dan boleh dipandu sehingga 420 km (WLTP) dan kelajuan maksimum mencecah 159 kilometer sejam (km/j).

Berkongsi kelajuan maksimum, semua varian 03 menggunakan motor elektrik berkuasa 126 kW (171 ps) dan 250Nm.

Pemandu dan penumpang 03 Pro duduk di atas kerusi balutan kulit tiruan dan fungsi pemanas untuk penumpang depan. 

Lagi kelengkapan seperti Bantuan Meletak Kenderaan Automatik, Mengundur Automatik dan penderia parkir depan.

Selain kit badan dengan pendakap gerbang roda, 03 GT menyerlah dengan rim aloi 18 inci GT Diamond Turned dan angkup brek merah.

Bahagian dalam juga tampil sporti dengan pelbagai riasan merah dari panel pintu, kerusi, stereng dan papan pemuka. Logo GT terpampang pada penyandar kepala. 

Kerusi depan mempunyai fungsi pengudaraan dan urutan. Satu lagi yang istimewa adalah bumbung suria panoramik.

GT juga istimewa dengan Kawalan Mula Pandu dan pam pemanas untuk pengurusan bateri lebih baik.

03 GT menggunakan bateri sama seperti Pro namun jarak pemanduan lebih pendek iaitu 399 km.

Pecutan dari 0 sehingga 100 km/j memerlukan 8.2 saat dan begitu juga 03 Pro. Varian asas 03 berkurangan 0.1 saat.

Dari segi prestasi pengecasan, bekalan fasa tunggal 6.6 kW mengambil masa 5 jam 24 minit untuk 03 Pure dan 7.2 jam bagi kedua-dua Pro dan GT.

Pengecasan tiga fasa 11 kW lebih pantas dengan 3 jam 12 minit dan 3.4 jam bagi dua varian teratas.

Pengecasan DC 100 kW paling laju dan hanya memerlukan 42 minit 30 saat (maksimum 64 kW) dan 48 minit untuk Pro dan GT.

Pelanggan di UK ditawarkan 03 Pure pada harga 24,995 pound (RM137,470) dan 28,995 pound (RM159,494) untuk 03 Pro. GT pula berharga 32,995 pound (RM181,515).

Google ads
Back to top button