Buletin

NAZA AUTOMOTIVE GROUP BUKA PUSAT PAMERAN UTAMA SUZUKI CARS MALAYSIA DI PETALING JAYA

NAZA Automotive Group terus memperkukuh kedudukannya dalam industri automotif tanah air menerusi pelancaran rasmi pusat pameran utama Suzuki Cars Malaysia yang pertama di Petaling Jaya.

Projek ini dikendalikan oleh Naza Eastern Motors, anak syarikat milik penuh NAZA Auto, dan menandakan fasa penting dalam perjalanan transformasi kumpulan ini.

Terletak bersebelahan dengan NAZA Auto Mall yang ikonik, pusat pameran berkeluasan 5,000 kaki persegi ini bukan sekadar ruang jualan, tetapi juga memaparkan identiti korporat terbaharu Suzuki, lengkap dengan zon-zon interaktif, kaunter servis dalam bangunan, ruang rehat berkonsepkan gaya hidup dengan sudut kanak-kanak, serta bilik perbincangan eksklusif.

Pengerusi NAZA Automotive Group, Dato’ Jasmy Ismail berkata, pembukaan pusat pameran ini mencerminkan langkah strategik NAZA Auto dalam membina masa depan yang lebih mampan dan responsif terhadap keperluan pasaran.

“Langkah ini membuktikan komitmen kami untuk menjadikan NAZA Auto lebih cekap, tangkas dan berfokuskan pelanggan. Suzuki ialah jenama yang mempunyai potensi besar dalam segmen kenderaan kompak dan mobiliti bandar. Kami percaya pusat pameran utama ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhannya di Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, pengalaman pelanggan kini tidak lagi terhad kepada pembelian semata-mata, malah melibatkan keseluruhan perjalanan pemilikan yang berkesan dan bermakna.

NAZA Auto turut mengumumkan bahawa pihaknya sedang menyusun semula portfolio perniagaan dengan memberi tumpuan kepada jenama automotif yang berpotensi tinggi, di samping menamatkan penglibatan dalam segmen gaya hidup yang tidak lagi seiring dengan hala tuju jangka panjang syarikat.

Suzuki kini dikenalpasti sebagai tunjang pertumbuhan baharu di bawah pelan ini, dengan perancangan untuk memperluas rangkaian pengedarannya di seluruh negara.

Langkah ini akan disokong oleh platform digital, penyelesaian selepas jualan yang inovatif serta program kesetiaan pelanggan yang lebih menyeluruh.

Pusat pameran baharu di Petaling Jaya ini juga bakal menjadi lokasi eksklusif bagi pelancaran model-model Suzuki akan datang di pasaran tempatan, menjadikannya sebagai pusat utama bagi pengalaman jenama Suzuki di Malaysia.

Bersempena pembukaan tersebut, pelanggan boleh menikmati pelbagai promosi pertengahan tahun serta program ganjaran istimewa untuk pemilik baharu dan sedia ada Suzuki.

Inisiatif ini menegaskan lagi komitmen NAZA Auto dalam memberikan nilai tambah kepada pelanggan serta kekal relevan dan berdaya saing dalam landskap automotif yang sentiasa berubah.

Google ads
Back to top button