
GM CATAT SAMBUTAN MEMBERANGSANGKAN UNTUK TRAK PIKAP ELEKTRIK GMC HUMMER EV, SILVERADO EV
Siapa kata trak pikap elektrik tak laku?
Biarpun statusnya sebagai sebuah kuda kerja kini menampilkan trenkuasa yang lebih moden dan ‘mesra alam’, ia tidak pernah menghalang pengguna daripada terus menaruh minat pada model-model trak pikap berkuasa elektrik.
Seperti contoh, Chevrolet Silverado EV – pesaing secara terus kepada F-150 Lightning – yang tidak akan dijual sehingga musim bunga tahun 2023 kini sudah mencatatkan tempahan berjumlah 150,000 unit!
Daripada jumlah tersebut, 65% merupakan pelanggan baharu untuk jenama itu, manakala selebihnya merupakan pelanggan setia Chevrolet.

Selain daripada model Silverado EV, GM juga turut mencatatkan lebih 80,000 tempahan untuk model GMC Hummer EV.
Ia merupakan satu pencapaian yang impresif memandangkan trak elektrik gergasi itu mempunyai tanda harga bermula $79,995 (RM356,178) dan 42 peratus daripada tempahan merupakan pelanggan baharu untuk jenama itu.







