URA-URA: CIVIC TYPE R MUNGKIN HADIR DALAM VERSI PHEV
Honda Civic Type R generasi baharu telah pun diperkenalkan secara rasmi minggu lalu dengan menampilkan nadi 2.0 liter turbo, pacuan roda depan dan transmisi manual enam nisbah kelajuan.
Ia sekaligus memadamkan khabar angin yang mendakwa generasi FL5 ini akan hadir dengan versi hibrid, atau versi pacuan semua roda.
Namun, dalam satu temubual bersama Autocar, penasihat teknikal Honda Motor Europe Ko Yamamoto menjelaskan platform Civic Type R yang terkini mampu menyokong elektrifikasi.
“Saya tidak akan mengecualikan langkah elektrifikasi. Kami tidak boleh menghadirkan trenkuasa elektrik tulen pada platform ini, namun saya boleh bayangkan ia mampu menyokong tahap plug-in hybrid yang tertentu.
“Elektrifikasi adalah sekadar pendekatan teknikal, sama seperti VTEC, atau turbo, atau suspensi multi-link.
Namun begitu, idea untuk menghasilkan Civic Type R versi pacuan semua roda tidak termasuk di dalam agenda pembangunan.
Jelasnya, “ia tidak menjadi lebih cepat, akan tetapi (menjadikan kereta) lebih berat.” – Autocar