Buletin

LAND ROVER DEFENDER WORKS V8 TROPHY II – 25 UNIT SAHAJA, DARI RM1.22 JUTA BOH!

Biarpun generasi baharu Land Rover Defender sudah pun melata atas muka bumi, para peminatnya masih lagi sukar untuk melupakan kehadiran model klasik Defender dengan rupa paras yang ikonik itu.

Disebabkan itu, divisyen Classic Land Rover membuat keputusan untuk memperkenalkan Land Rover Classic Defender Works V8 Trophy II sebagai kesinambungan kepada model Works V8 Trophyyang diperkenalkan tahun lalu.

Hanya 25 unit sahaja Defender Works V8 Trophy II ini akan diproduksikan terdiri daripada 10 unit Defender 90, 10 unit Defender Station Wagon, dan 5 unit 110 Double Cab Pick-Up, di mana setiap satu akan menampilkan beberapa penambahbaikan yang signifikan.

Seperti contoh, kemasan balutan samaran yang menampilkan 23 lokasi kembara Land Rover di masa lalu, warna Fuji White yang digandingkan dengan bumbung Narvik Black, kemasan satin black pada bonnet dan rim Sawtooth bersaiz 18 inci.

Kelengkapan untuk pemanduan off-road termasuklah bullbar dengan cangkuk tunda, bar LED, rak bumbung yang dihubungkan dengan sangkar keselamatan luaran, tangga di belakang, rock slider, mud flap dan poin pemulihan di belakang.

Memasuki ruang kabin, Land Rover Defender Works V8 Trophy II ini membawakan upholsteri kulit Windsor, tempat duduk sports Recaro dua tona, sistem infotainmen baharu Land Rover Classic dan jam Elliot Brown.

Defender ini mengekalkan penggunaan enjin bentangan V8 5.0 liter aspirasi natural yang mampu menjana 400 hp dan 515 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik ZF lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda.

Selain itu, sistem suspensi, brek, stereng turut dinaiktaraf bagi menjadikan dinamik pengendalian yang lebih baik berbanding model asal.

Harga jualan?

Land Rover Defender Works V8 Trophy II ini memilliki tanda harga bermula dari £225,000 (RM1.22 juta) untuk bentuk badan Defender 90.

Pemilik model edisi terhad ini akan turut dijemput untuk menghadiri pertandingan cabaran off-road Land Rover Trophy selama tiga hari dengan hadiah menarik bakal menanti pasukan yang menang.

Google ads
Back to top button