Artikel Pilihan

TOYOTA NAFIKAN WARANTI GR COROLLA TERBAKAR – DAKWA TAYAR TIDAK SESUAI DIGUNAKAN

Baru-baru ini kami pernah siarkan tentang sebuah GR Corolla yang terbakar semasa sedang dipandu di lebuh raya. Ia dikatakan berkemungkinan akibat pemanduan dengan kelajuan tinggi dan keadaan tayar yang tidak sesuai sebelum berlakunya insiden tersebut.

Rakaman video papan pemuka sebelum ini menunjukkan kereta tersebut sedang dipandu di lebuh raya North Carolina pada kelajuan sekitar 85mph (137kmj) sebelum enjinnya mula berasap dan terbakar. Menyedari keadaan tersebut pemandunya segera menghentikan kenderaan dan keluar menyelamatkan diri.

Pasukan bomba yang tiba selepas lima minit hanya mampu mengawal keadaan namun bahagian hadapan kereta tersebut sudah pun hangus dijilat api.

Pemilik kemudian menghubungi Toyota untuk bantuan tuntutan waranti dan penggantian kereta baharu namun ditolak dengan alasan GR Corolla tidak wajar dipandu melebihi kelajuan 85mph tanpa tayar yang sesuai.

Penyiasat kebakaran yang memeriksa kereta tersebut mendapati satu lubang kecil muncul di bahagian atas blok enjin selain sisa-sisa bahan pelincir di atas unit pengecas turbo, bahagian bawah enjin dan pada paip ekzos.

Toyota menegaskan yang mereka sudah menerangkan dalam penduan pengguna yang GR Corolla tidak boleh dipandu melebihi kelajuan 85bsj (137kmj) tanpa tayar yang sesuai. Memandu melebihi kelajuan tersebut mungkin mengakibatkan kegagalan tayar, hilang kawalan dan kecederaan.

Pemilik juga dinasihat agar mendapatkan pandangan pengedar tayar untuk menentukan kesesuaian tayar sebelum memandu dengan kelajuan tinggi.

Bab tayar ni kami keliru sikit sebab setahu kami GR Corolla ini datang dari kilang dengan tayar Michelin yang tentu sekali spesifikasinya lebih dari kelajuan 85bsj. Tayar dengan spesifikasi 85bsj ni biasanya digunakan sebagai tayar gentian. Kebanyakan kereta marhain pun datang dari kilang dengan tayar S ataupun T dengan had kelajuan 180 kmj dan 190 kmj setiap satu. Takkan GR Corolla pakai empat tayar spare kot?

Google ads
Back to top button