
GR SUPRA DENGAN NADI 2JZ JALANI UJIAN DYNO – DAPAT 917 HP!
Ketika Toyota memperkenalkan generasi baharu GR Supra, ramai peminat model asal Supra melenting kerana Toyota tidak lagi meneruskan penawaran enjin 2JZ yang menjadi pujaan ramai itu, sebaliknya memilih untuk menggunakan trenkuasa daripada BMW.
Namun begitu, seorang pemilik GR Supra nampaknya masih belum lagi boleh ‘move on‘ dan beliau bertindak untuk menyumbat sendiri enjin enam silinder sebaris 2JZ ikonik itu ke dalam kereta miliknya.
Biarpun ia masih lagi mengekalkan sesaran asal, enjin tersebut telah pun menerima perubahan seperti contoh kepala, cam, serta omboh serba baharu, serta mendapat unit pengecas turbo daripada Precision 7676.
Enjin ini dirojakkan dengan transmisi Getrag 420G yang digunakan oleh model BMW M3 E46, serta differential belakang daripada M3 E92.
Selain itu, antara modifikasi lain yang dibuat termasuklah pemasangan rim Work, sistem brek baharu, sayap belakang yang besar, serta sistem ekzos dengan tip saluran tunggal.
Berdasarkan video Hoonigan, GR Supra dengan nadi 2JZ ini mampu menghamburkan kuasa setinggi 545 hp, sebelum kalibrasi dibuat semula di mana angka tersebut kemudian meningkat kepada 917 hp!
Untuk ujian ketiga dan kali terakhir, GR Supra itu mampu mencatatkan angka 897 hp.