Buletin

GUANYU ZHOU PELUMBA F1 PERTAMA DARI CHINA! SERTAI ALFA ROMEO

Satu perkembangan menarik di dalam perlumbaan Formula 1 apabila Guanyu Zhou menyertai pasukan Alfa Romeo Racing ORLEN bermula musim 2022.

Guanyu Zhou yang berusia 22 tahun adalah pelumba warga China pertama yang menyertai F1.

Beliau bakal menyertai Yuki Tsunoda dari Jepun sebagai pelumba Asia di dalam saingan perdana tersebut. Seorang lagi ialah Alex Albon, berketurunan Thailand-Inggeris yang kembali sebagai pelumba F1 selepas musim 2019.

Sebagai pelumba baharu, apakah rekod kecemerlangan Guanyu Zhou?

Beliau sebelum ini telah memenangi banyak perlumbaan FIA F2 dan sebenarnya sudah berada di bawah pemerhatian beberapa pasukan F1.

Di antara rekod kejayaan beliau adalah menamatkan perlumbaan di tempat kedua F4 Itali 2015 sebelum mencatatkan beberapa kemenangan di dalam F3 dan F2 Eropah yang juga siri feeder F1.

Tahun 2021 adalah musim cemerlang beliau dan sekarang ini berada di tangga kedua F2 dengan baki perlumbaan di Arab Saudi dan Abu Dhabi.

Bersama Alfa Romeo Racing, beliau akan bergandingan dengan pelumba senior Valtteri Bottas yang menggantikan tempat Kimi Raikkonen.

Musim 2022 juga bakal menyaksikan perlumbaan F1 dengan peraturan baharu ibarat bermula dari asas.

Selain itu, penyertaan Guanyu Zhou ke dalam pasukan Alfa Romeo juga dilihat sebagai satu perkara menang-menang.

Berikut adalah petikan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Alfa Romeo, Jean Philippe Imparato;

“Alfa Romeo berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran Guanyu Zhou, pemandu pertama dari China dalam F1.

“Keputusan untuk merekrut Guanyu Zhou dibuat dengan persetujuan penuh dengan pasukan Alfa Romeo Racing dan hasil daripada objektif spesifik dan strategi yang jelas iaitu untuk Alfa Romeo menjadi jenama premium global.

“Guanyu Zhou mewakili peluang utama bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi yang ditawarkan oleh platform global F1 dan berfungsi sebagai pintu masuk istimewa ke pasaran China yang memainkan peranan penting dalam masa depan Alfa Romeo…”.

Dari kenyataan tersebut boleh ditafsirkan bahawa Guanyu Zhou akan memainkan peranan penting buat Alfa Romeo demi kelangsungan dan masa depan syarikat.

Guanyu Zhou pula bukan calang-calang, beliau mempunyai rekod yang baik dan mampu memberi saingan kepada pelumba lain.

Lagi pula, F1 musim 2022 dilangsungkan dengan set peraturan dan kereta baharu!

Sekadar memperingatkan kembali, Alex Yoong adalah pelumba Malaysia pertama yang menyertai F1 pada tahun 2001.

Google ads
Back to top button