
GURU MATEMATIK DI KASHMIR BERJAYA BINA KERETA SOLAR SELEPAS USAHA 13 TAHUN
Seorang guru di wilayah Kashmir milik India berjaya membina sebuah kereta solar pertama setelah berusaha selama 13 tahun, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Bilal Ahmad yang merupakan seorang guru matematik, mula membina kereta solar di Lembah Kashmir pada tahun 2009. Dia berhasrat membina kereta solar yang boleh dibeli oleh bukan sahaja golongan kaya tetapi juga rakyat biasa.
Bilal meluangkan masa dua jam setiap hari selama lebih satu dekad untuk membina kereta solar dengan menggunakan wangnya sendiri. Menurutnya, sekarang adalah masa yang sesuai untuk melancarkan kereta solar di pasaran India.
Sepanjang tempoh tersebut, Bilal membelanjakan kira-kira 1,500,000 rupee (RM83,670) untuk membina kereta tersebut. Katanya, kereta itu boleh dibina dengan kos 1,000,000 rupee (RM55,781) jika semuanya berjalan lancar mengikut perancangannya.
Selepas kejayaan pandu uji di Srinagar, banyak pengeluar kereta India menghubunginya untuk mengusahakan projek tersebut.
“Semangat saya dirangsang oleh syarikat-syarikat besar yang menghubungi saya. Saya tahu kerja keras saya tidak akan sia-sia.
“Saya menghabiskan begitu banyak masa untuk membina kereta ini. Ia adalah kereta mesra alam dengan pencemaran sifar. Inilah kereta untuk masa depan,” katanya.
Kereta solar gear automatik yang dibina oleh Bilal menampilkan kebanyakan bahagiannya ditutup dengan panel solar untuk memastikan janaan tenaga maksimum supaya kenderaan itu bergerak dengan lancar. – Agensi
- BACA: KAPAL SOLAR FIRAUN KUFU BERUSIA 4,600 TAHUN DIPINDAHKAN KE MUZIUM
- BACA: BOLEHKAH KITA MENGHASILKAN KERETA ELEKTRIK DENGAN TENAGA SOLAR?
- BACA: LIGHTYEAR 0 – KERETA ELEKTRIK DENGAN PANEL SOLAR, TAK PERLU CAS SAMPAI TUJUH BULAN!
- BACA: TESLA PAMER SISTEM PENGECASAN SOLAR YANG BOLEH DIBAWA KE MANA-MANA



