
GWM MALAYSIA SASAR LONJAKAN BESAR MENJELANG 2028, FOKUS TEKNOLOGI DAN PERLUAS BARISAN SUV
GWM Malaysia merangka pelan pertumbuhan jangka sederhana hingga 2028 dengan memberi penekanan kepada pembangunan teknologi serta peluasan rangkaian kenderaan utiliti sukan (SUV), sebagai langkah mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran automotif tempatan.
Hala tuju strategik bagi tempoh 2026 hingga 2028 itu diumumkan sempena majlis Malam Penghargaan Bersama Media, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap pasaran Malaysia.
Sejak menembusi pasaran tempatan, GWM Malaysia menunjukkan perkembangan konsisten melalui pengukuhan portfolio produk, kerjasama dengan rangkaian pengedar serta pelaburan dalam pembangunan kepakaran tempatan.
Sepanjang tahun 2025, syarikat itu mencatatkan hampir 5,900 unit jualan, meningkat 177 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menjelang 2028, syarikat itu menyasarkan pegangan pasaran sebanyak enam peratus serta jualan tahunan mencecah 60,000 unit.
Dalam masa sama, ia turut berhasrat menempatkan diri dalam kelompok 10 jenama automotif teratas di Malaysia, termasuk berada dalam tiga terbaik bagi jenama dari China.
Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, pendekatan syarikat tidak hanya tertumpu kepada persaingan harga semata-mata, sebaliknya digerakkan oleh kekuatan kejuruteraan, teknologi pintar serta ciri keselamatan yang dipertingkatkan.
Menurutnya, pertumbuhan dicapai pada 2025 membuktikan keyakinan pengguna terhadap produk, kecekapan rangkaian pengedar serta sistem perkhidmatan selepas jualan yang semakin mantap.
Dalam menyokong peralihan industri ke arah elektrifikasi, GWM Malaysia mengekalkan strategi “multi-powertrain” dengan menawarkan pilihan enjin pembakaran dalaman (ICE), hibrid (HEV), hibrid plug-in (PHEV) dan elektrik sepenuhnya (BEV).
Portfolio jenamanya merangkumi Haval, Tank, Ora dan Wey yang menyasarkan segmen pengguna berbeza.

Dari segi produk, beberapa model baharu dijangka diperkenalkan termasuk Tank 300 HEV, selain model segmen B-SUV dan C-SUV yang dijadual memasuki pasaran antara 2026 hingga 2027, termasuk varian C-SUV premium.
Teknologi kekal menjadi teras utama melalui sistem hibrid pintar Hi4, yang diperkenalkan menerusi Wey G9 Hi4 PHEV dan bakal diperluaskan ke model lain pada masa depan.
Dalam masa sama, syarikat itu merancang memperkukuh rangkaian pengedar dengan sasaran 60 cawangan di seluruh negara.
Bermula 2026, piawaian identiti korporat baharu akan diperkenalkan bagi memastikan pengalaman jualan yang lebih seragam dan premium kepada pelanggan.
Aspek selepas jualan turut diberi perhatian dengan penawaran latihan teknikal intensif, kadar ketersediaan alat ganti mencecah 95 peratus serta penambahbaikan berterusan melalui sistem sokongan pelanggan GWM Care.
Selain itu, GWM Malaysia kekal komited terhadap pemasangan tempatan (CKD) dan bercadang menjadikan negara ini sebagai hab pertumbuhan serta pusat eksport utama di rantau ASEAN.
Langkah itu dilihat mampu menyokong pembangunan kenderaan tenaga baharu, memperluas eksport bernilai tinggi serta memperkukuh keupayaan tenaga kerja tempatan melalui pemindahan teknologi dan pembangunan bakat.









