BuletinMotosikal

HAFIZH SYAHRIN KEMBALI KE MOTO2 BERSAMA TEAM PETRONAS?

Senarai pasukan dan pelumba untuk MotoGP musim 2020 hampir penuh. Kelas premier menyaksikan hanya satu dua pasukan kecil yang belum menamakan pelumba mereka sementara kelas Moto2 pula sekurang-kurangnya lima pasukan belum menyenaraikan pelumba kedua mereka.

Berita tentang kemasukan Xavi Vierge ke dalam pasukan Petronas Sprinta Moto2 untuk musim tahun depan kurang mendapat liputan. Pelumba Spanyol itu meninggalkan Alex Marquez di pasukan Marc VDS untuk menyertai pasukan Petronas Sprinta dan ia adalah perpindahan ketiganya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Sementara itu, Alex Marquez yang disebut-sebut akan menyertai Petronas Sprinta sebaliknya menyambung kontrak bersama Marc VDS dan akan berganding bersama Sam Lowes.

Kemasukan Vierge bermaksud berliau akan bergandingan dengan Khairul Idham Pawi di pasukan Petronas Sprinta.

Itulah yang sepatutnya, sehinggalah satu senarai dimuatnaik oleh laman web motorsport.com dan memperlihatkan ketiadaan nama Superkip di situ.

Sebaliknya, nama Khairul Idham Pawi telah digantikan dengan Hafizh Syahrin.

Seperti yang kita sedia maklum, kontrak Hafizh bersama KTM Tech3 tidak disambung untuk musim 2020. Lebih jelas, kedudukan Bo55ku dalam pasukan KTM telah digantikan oleh Brad Binder yang berpindah dari kelas Moto2.

Jika Hafizh “turun” ke kelas Moto2, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ia juga berlaku pada pelumba lain. Tom Luthi misalnya malah Johann Zarco juga berkemungkinan kembali ke Moto2 kerana tempat di MotoGP sudah hampir penuh bagi setiap pasukan yang bertanding.

Namun ada satu persoalan. Kemana pula Khairul Idham Pawi?

Berkemungkinan besar, Khairul Idham Pawi akan ke kelas Moto3 dan bergandingan dengan McPhee. Itu adalah kebarangkalian yang paling besar setakat ini.

BELUM ADA PENGUMUMAN RASMI

Namun di pihak Hafizh atau Petronas Sprinta sendiri belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

Setakat hari ini, kita boleh andaikan yang ia info dalaman yang diperolehi pihak motorsport.com. Pun begitu, pada pandangan kami yang mengikuti perkembangan dunia permotoran global, laman web ini sering mendapat berita lebih awal berbanding media lain

Apapun kita tunggu berita terkini secara rasmi dari empunya badan.

Mana pasukan yang akan Hafizh sertai, mana kelas pun, kami yakin rakyat Malaysia sentiasa mendoakan yang terbaik untuk beliau.

Google ads
Back to top button