Buletin

HAKOSUKA YANG CANTIK & ORI INI DITEMUI DI AFRIKA SELATAN – MATI HIDUP SEMULA PUN PEMILIK TAK MAHU JUAL!

Tidak dapat dinafikan bahawa Nissan Skyline GT-R menjadi idaman ramai peminat kereta. GT-R takpe lagi, tapi kalau Skyline GT-R Hakosuka, bukan ramai yang begitu bertuah untuk menjadi pemiliknya. 

Memandangkan hanya 1,000 unit pernah dihasilkan, model coupe dua pintu yang juga dikenali dengan kod KPGC10 itu dikatakan bertanggungjawab dalam memulakan status cult dalam dunia JDM.

Ikon kereta sports Jepun itu mempunyai kisah yang cukup menarik. Pemiliknya, Freek De Kock yang menetap di Bothaville, Free State, Afrika Selatan membeli kereta tersebut dari seorang bekas mafia Jepun. Sejak itu, dia memastikan Hakosuka yang mempunyai jarak perbatuan rendah itu berada dalam kondisi terbaik dan original sebaik mungkin.

Freek membelinya bukan sekadar suka-suka. Tetapi dengan harapan dapat membuka sebuah muzium Datsun di Free State, supaya generasi akan datang boleh melihat dan menikmati kereta-kereta vintaj Jepun.

Dia telah mengumpul kereta-kereta lama Nissan selama lebih 15 tahun. Jadi, tidak hairanlah jika Freek memiliki koleksi jentera lama Nissan dan Datsun antara yang paling banyak di dunia.

“Saya masih ingat ketika ayah menghantar saya ke sekolah menaiki kereta ini, semua orang memandangnya dengan begitu kagum. Apabila saya mula merancang untuk membina sebuah muzium, saya perlukan satu jentera yang istimewa. Inilah jenteranya,” kata Freek.

Pada masa yang sama, Freek aktif dalam komuniti kereta di sana. Lelaki itu cuba sedaya upaya untuk membawa Hakosuka tersebut ke sebanyak mungkin pameran. Semestinya, ia mendapat perhatian ramai.

Kagum dengan kondisi Hakosuka ini, sebuah laman web, cars.co.za menghasilkan sebuah video khas. Bertajuk SentiMETAL Ep 3: Nissan’s Rare Hakosuka Skyline GT-R, klip video berdurasi 6 minit 41 saat tersebut memaparkan temu ramah Freek tentang kereta kesayangannya itu.

Hakosuka tersebut dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris bersesaran 2.0 liter. Ia mampu menghasilkan kuasa 118kW dan tork 180Nm. Pada zamannya, ia bersaing di litar lumba dengan Porsche 911 dan jentera Mazda yang dilengkapi enjin rotari.

Sedikit tentang Skyline dan Hakosuka. Hakosuka ialah bahasa Jepun yang bermaksud Hako – kotak dan Suka – Skyline. Skyline pada asalnya dibina oleh Prince Motor Company pada tahun 1957 sebelum ia bergabung dengan Nissan sepuluh tahun kemudian (1966).

BACA: BENGKEL PENUH DENGAN NISSAN SKYLINE & GT-R HANGUS TERBAKAR

Skyline paling popular ditawarkan dalam gayaan coupe atau sedan. Ia direka oleh Shinichiro Sakurai dan beliau kekal menjadi pengaruh utama dalam penghasilkan kereta itu sehingga kematiannya pada tahun 2011.

kredit video/foto: cars.co.za

GALERI

Google ads
Back to top button