
HYUNDAI MOTOR MALAYSIA DILANCARKAN, BAKAL PERKENAL MODEL BAHARU
Hyundai Motor Company (HMC) kini mengambil langkah strategik penting dengan menubuhkan Hyundai Motor Malaysia (HMY), iaitu entiti rasmi yang akan mengendalikan operasi jenama itu secara langsung di negara ini.
Langkah ini menandakan perubahan ketara daripada model perniagaan berasaskan pengedaran, sebelum ini dikendalikan oleh Sime Darby Motors, kepada pendekatan berasaskan prinsipal, sekali gus membolehkan Hyundai menguruskan sendiri segala aspek melibatkan jenama, pemasaran, jualan serta pengalaman pelanggan di Malaysia.
Sebuah pasukan pengurusan tempatan akan diwujudkan dan diberi kuasa membuat keputusan mengikut keperluan pasaran. Operasi HMY akan berpusat di ibu pejabat baharu mereka di Menara Affin @ TRX.
Bersempena penubuhan HMY, Hyundai turut mengumumkan pelancaran tiga model baharu dalam segmen SUV dan MPV tidak lama lagi. Ini menandakan permulaan baharu kepada usaha Hyundai memperkukuh kehadiran di pasaran tempatan.

Dalam masa yang sama, HMY akan memulakan operasi pemasangan tempatan di Kulim, Kedah pada suku ketiga tahun ini, melalui kerjasama strategik bersama Inokom Corporation Sdn Bhd.
Fasiliti tersebut dijangka menghasilkan sehingga tujuh model dalam tempoh lima tahun, termasuk model enjin pembakaran dalaman (ICE) dan hibrid elektrik (HEV).
Sebanyak 30 peratus daripada hasil pengeluaran itu akan dieksport ke pasaran serantau, menjadikan Malaysia sebagai sebahagian penting dalam rangkaian pengeluaran global Hyundai.
Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen berkata, Malaysia merupakan antara pasaran utama di ASEAN yang mencatatkan permintaan tinggi bagi kenderaan penumpang.
“Dengan kadar pertumbuhan KDNK stabil sekitar 4.3 peratus dan keyakinan pengguna yang tinggi, Malaysia merupakan lokasi ideal untuk pelaburan jangka panjang dan hab utama bagi strategi pengembangan Hyundai di Asia Pasifik,” katanya.
Walaupun beralih kepada pengurusan terus, Sime Darby Motors akan kekal sebagai sebahagian daripada rangkaian pengedar Hyundai.
Dalam usaha menambah baik perkhidmatan, Hyundai juga bercadang membuka sehingga 25 cawangan baharu menjelang tahun 2030 serta mempertingkat sistem selepas jualan bagi memenuhi kehendak pelanggan moden.
Bagi memastikan peralihan berjalan lancar, pemilik sedia ada disarankan mengemas kini maklumat mereka menerusi saluran rasmi Hyundai Motor Malaysia agar perkhidmatan selepas jualan dapat diteruskan tanpa gangguan.
Sejak kehadirannya di Malaysia pada awal 2000-an, Hyundai telah memperkenalkan pelbagai model termasuk Elantra, Sonata, Santa Fe, Starex, Ioniq dan Palisade.
Sehingga kini, lebih 147,000 unit telah dijual di Malaysia, bukti jelas penerimaan baik rakyat Malaysia terhadap jenama ini.
- BACA: MG MOTOR MALAYSIA TAWAR PROMOSI UNTUK MG5 DAN MG4 – JIMAT SEHINGGA RM7K
- BACA: ANAK SYARIKAT HONDA HASILKAN FASTPORT eQUAD – BARULAH LEKAS SIKIT HANTAR BARANG NANTI
- BACA: ALFA ROMEO DAN MASERATI BERSATU, RANCANGAN RAHSIA AKAN DIUMUM 23 JUN
- BACA: PERSAINGAN KERETA CHINA GUGAT PASARAN KENDERAAN TERPAKAI