Buletin

HARGA KERETA TURUN?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengulangi janji kerajaan untuk menurunkan harga kereta secara berperingkat, lapor agensi berita Bernama.
“Seperti dijanjikan, harga kereta akan diturunkan secara berperingkat hingga tahun 2017. Insya Allah, saya akan pastikan setiap janji ditepati,” katanya dalam tweet terbaharu beliau pada Selasa.

kereta 1

Penurunan harga kereta menjadi antara isu hangat yang diperdebatkan ketika kempen pilihan raya umum ke-13 lalu. Walaupun kerajaan sudah pun melakukan penurunan harga secara beransur-ansur, isu yang dicanang oleh pakatan pembangkang itu membuatkan Barisan Nasional (BN) terpaksa memberi maklum balas.

Hasilnya, BN menyatakan dalam Aku Janji pilihan raya bahawa ia  berjanji untuk menyemak semula Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat antara 20 dan 30 peratus. Selain meningkatkan daya saing kereta nasional, sekiranya diberi mandat sekali lagi untuk mentadbir negara.

SONY DSC

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed nyata senada dengan matlamat tersebut. Menurut Mustapa, bersandarkan manifesto kerajaan yang telah dibuat pada pilihan raya umum lalu, kerajaan telah berjanji akan mengurangkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun.

“Malah, sejak Oktober tahun lepas, harga 10 model kereta popular di negara ini telah menurun secara purata 7.3 peratus,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian dan agensi-agensi di bawahnya semalam.
slider dlm baru (1)

Beliau menyifatkan pengurangan harga itu adalah hasil proses pasaran yang melibatkan  peningkatan kecekapan dan persaingan dalam kalangan pemain industri automotif.

Namun, apa yang pasti, penurunan harga tidak boleh dibuat semalaman. Sebaliknya  harus dilaksanakan secara berhemah dan tersusun supaya ia tidak menjejaskan pertumbuhan dan peluang pekerjaan sedia ada industri berkaitan.

“Oleh itu, kami juga telah melakukan perbincangan dengan syarikat-syarikat pembuat kereta. Mereka juga sedar tentang Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas atau FTA yang bakal dilaksanakan serta faedah-faedah yang akan diperkenal kepada pengguna,” katanya.

SONY DSC

Mustapa menegaskan bahawa pemain industri kini perlu bersedia meningkatkan daya saing dan pengeluaran mereka, sesuai dengan iklim persaingan yang semakin sengit di Malaysia dan luar negara.

Mustapa  turut menjelaskan bahawa selain usaha menurunkan harga kereta di pasaran tempatan, kerajaan juga melihat kepada keseimbangan lain. Misalnya mengurangkan kesesakan lalu lintas menerusi inisiatif pembinaan pengangkutan awam yang lebih cekap.

Sementara itu, firma penyelidikan JF Apex Securities menyatakan kerajaan akan mengambil masa untuk mengimplementasikan penurunan harga kereta kerana ia pasti memberi kesan kepada perkongsian pasaran Proton.

mekanika - Neo R3 xtra

Dalam notanya semalam, JF Apex Securities memberitahu bahawa kajian menyeluruh perlu dilaksanakan berkaitan impak penurunan harga kereta demi mengelak gangguan dalam ekosistem industri automotif.  

“Kami tidak melihat sebarang perubahan akan berlaku dalam beberapa bulan akan datang, ketika rakyat menunggu pengumuman perubahan pada Dasar Automotif Nasional,” kata JF Apex Securities.

JF Apex Securities menambah, pasaran jualan kereta sekunder akan menerima impak jika harga kereta dikurangkan sebanyak 20 hingga 30 peratus melalui pengurangan duti eksais di antara 75 hingga 105 peratus, yang sebenarnya mewakili sebahagian besar harga kereta.

SONY DSC

Walaupun situasi ini memberi kelebihan kepada mereka yang hendak membeli kereta untuk kali pertama, manfaat itu bagaimanapun tidak akan dinikmati oleh golongan yang sudah pun memiliki kereta.

Ini kerana nilai kereta mereka pasti jatuh dengan agak ketara. Sekali gus mengurangkan kemampuan untuk menjual kereta sedia ada dan membeli kereta baharu.

garaj - isu 4

“Namun begitu, kesan terhadap pasaran sekunder ini masih boleh diurus kerana kerajaan tidak akan melakukan perubahan secara mendadak. Sebabnya, tindakan sebegitu hanya akan memberi impak kepada keseluruhan industri automotif,” jelas JF Apex Securities. – Bernama

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button