Buletin

HARGA MITSUBISHI ECLIPSE CROSS 1.5 TURBO DAH KELUAR – DARI RM 121 RIBU!

Baru saja heboh tentang Pajevo (Pajero Evo) bakal dipertontonkan di Tokyo Motor Show tetapi sebelum itu Mitsubishi beberapa bulan lalu telah melancarkan Eclipse Cross. Tidak pasti pula Pajevo nanti kalau dilancarkan akan menggantikan atau mengisi slot yang mana.

Sebab Mitsubishi sudah ada ASX, Eclipse Cross dan Outlander. Lancer sahaja yang belum ada. Lancer Evo apatah lagi. Mungkin ramai dah kurang minat kereta sedan agaknya. Habis Honda Civic VTEC Turbo tu nak kira macam mana?

Selain itu, sudah menjadi trend Mitsubishi untuk menukar semula jenama model. Kalau dulu, Mirage ini dikaitkan dengan kereta kompak, coupé dan hatchback yang ada jiwa, sekarang ini dah masuk slot kereta massa macam Myvi. Untuk Eclipse pula, dahulunya memang dikhaskan untuk kereta coupé sekarang ini jadi SUV kompak pula.

Eclipse Cross ini pula berada di antara Mitsubishi ASX dan Outlander. Reka bentuk memang stailo habis sesuai dengan trend sekarang seperti Honda HR-V, Toyota C-HR dan Nissan Juke. Tentang harga pula, boleh tahan.

Bermula Januari tahun depan, pembeli di United Kingdom (UK) sudah boleh membeli Eclipse Cross pada harga yang sangat munasabah iaitu GBP 21,275 atau RM 120,613.36. 

Terdapat tiga varian yang bakal dipasarkan iaitu Eclipse Cross 2, Eclipse Cross 3 dan Eclipse Cross 4. Menariknya, kesemua varian menggunakan enjin 1.5 liter turbo baharu berkuasa 163 hp dengan tork 250 Nm. Enjin itu boleh dipadankan bersama transmisi enam kelajuan manual atau automatik dengan mod sport.

Automatik? Betul, bukan transmisi CVT dan klac berkembar yang sudah menjadi trend kereta Jepun sekarang ini. Transmisi automatik itu adalah versi baharu yang memberikan penjimatan seperti CVT dengan kelancaran dan responsif ibarat transmisi automatik tradisional.

Selain itu, Eclipse juga bukanlah sebuah acah-acah SUV kerana ia dibekalkan dengan dua jenis pacuan iaitu 2WD atau 4WD. Pacuan 4WD itu mempunyai teknologi Super All-wheel Control (S-AWC) terkini yang mempunyai tiga mod pemanduan, Auto, Snow dan Gravel.

Kelengkapan keselamatan standard untuk kesemua varian juga lengkap. Di antaranya ialah Lane Departure Warning, Forward Collision Mitigation (FCM) yang menggunakan teknologi radar, ABS, Active Stability Control, Hill Start Assist, Brake Assist, tujuh beg udara, sensor cuaca gelap dan hujan.

Varian lebih mewah pula dilengkapi ciri-ciri seperti roda 18 inci, head-up display, kerusi depan dengan pemanas, bumbung panoramik, pembesar suara Rockford Fosgate Premium,  Blind Spot Warning (BSW), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Change Assist (LCA) dan Adaptive Cruise Control.

Untuk pasaran Malaysia, tidak pasti sama ada Mitsubishi Motors Malaysia akan memasarkan atau tidak. Apa yang pasti, Mitsubishi ASX sekarang ini digasak hebat dengan Honda HR-V dan dalam masa beberapa bulan lagi, Toyota C-HR akan dipasarkan.

Berikut ialah varian dan harga Mitsubishi Eclipse Cross pasaran United Kingdom:

BACA: MITSUBISHI OUTLANDER/AIRTREK – DAH HAMPIR 16 TAHUN RUPANYA

Varian Harga OTR 
Eclipse Cross 2 Manual £21,275
Eclipse Cross 3 Manual £22,575
Eclipse Cross 3 Automatic £23,850
Eclipse Cross 3 Automatic 4WD £25,350
Eclipse Cross 4 Manual £24,975
Eclipse Cross 4 Automatic 4WD £27,900
Eclipse Cross First Edition Manual £26,825
Eclipse Cross First Edition 4WD Auto £29,750
GBP 1 = RM 5.66  
Google ads
Back to top button