
PERSAINGAN KERETA CHINA GUGAT PASARAN KENDERAAN TERPAKAI
Industri kereta terpakai di Malaysia kini berdepan cabaran getir susulan kemasukan kenderaan buatan China dan penubuhan kilang pemasangannya di negara ini.
Situasi ini telah memberi tamparan hebat kepada jualan kenderaan terpakai, mengakibatkan peningkatan kenderaan yang tidak terjual.
Menurut Datuk Tony Khor, Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat-Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM), kira-kira 13 peratus kereta terpakai kini gagal dijual dalam tempoh lebih enam bulan.
Beliau menjelaskan bahawa dalam persaingan sengit dengan kereta China, kereta terpakai perlu dijual dalam tempoh 33 hari, manakala kereta mewah dalam 55 hari bagi mengelak kerugian.

Dipetik Sinchew Daily, Tony menekankan kepentingan pemanfaatan kecerdasan buatan (AI) untuk merancakkan semula jualan.
Beliau mencadangkan penggunaan teknologi AI untuk melakukan siaran langsung 24 jam sehari bagi menghantar iklan melalui pelbagai platform kepada pelanggan, seterusnya mempercepatkan proses jualan.
Justeru, beliau berharap kerajaan dapat menyediakan insentif kepada FMCCAM untuk membangunkan platform jualan kereta terpakai ini.
Tony berkata, FMCCAM kini bekerjasama dengan tiga rakan kerjasama, E Auto, EZ Auto, dan E Auto Gen dalam usaha membangunkan platform jualan yang berkuasa AI.
Selain itu, Tony turut menyuarakan harapan agar Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dapat mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan urus niaga jual beli kereta terpakai dapat dilakukan dengan lebih segera dan cekap. – Malaysia Gazette