
HARLEY-DAVIDSON LANCAR BASIKAL ELEKTRIK SERIAL 1 GENERASI KEDUA
Tidak ramai yang tahu, Harley-Davidson sebenarnya turut mempunyai jenama basikal elektrik (eBike) yang digelar sebagai Serial 1.
eBike Serial 1 itu kini sudah pun memasuki generasi kedua dan ia dibangunkan oleh Harley-Davidson dengan kerjasama pihak Google.

Serial 1 ini boleh didapati dalam beberapa versi, termasuklah RUSH/CTY dengan kelajuan sehingga 45 km/j, atau versi off-road BASH/MTN dengan kelajuan tertinggi 32 km/j, terima kasih kepada motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 90 Nm!
Menurut pengarah jenama Serial 1, Aaron Frank menjelaskan, eBike versi off-road ini tiada sebarang sistem suspensi atau trenkuasa yang kompleks bagi membolehkan ia menghubungkan terus antara penunggang dan juga laluan yang sukar.
“Dengan kurang perhatian kepada cara mengendalikan teknologi, lebih mudah untuk anda fokus dan menikmati setiap tunggangan,” jelasnya.

Meskipun tiada sistem suspensi, eBike Serial 1 ini turut didatangkan dengan tempat duduk SR Suntour NCX yang mampu menyerap hentakan, tayar besar Michelin E-Wild, sistem brek TRP empat omboh sebelum diakhiri dengan kemasan Yucca Tan dan grafiti.
Sementara versi standard pula lebih dikhususkan untuk kegunaan jalanan, di mana Harley-Davidson telah bekerjasama dengan Google untuk menambah ciri terhubung, seperti contoh Pinpoint Mode yang mampu menunjukkan lokasi basikal, serta sambungan navigasi Google Maps.
Penunggang juga boleh mengecas peranti pintar mereka semasa menunggang menerusi slot USB-C yang tersedia.

Kesemua trim didatangkan dengan bateri boleh ditanggalkan berkapasiti 529 Wh, kecuali RUSH/CTY dengan pek bateri 706 Wh.
Harga jualan bermula dari $3,799 (RM16,670) untuk versi asas, sementara versi BASH/MTN pula dari $3,999 (RM17,548) , diikuti dengan versi RUSH/CTY dengan harga dari $5,599 (RM24,568).


































