BuletinMotosikal

HELMI BAWA SEMANGAT ASIA KE KEJOHANAN CUB PRIX TEMPATAN

Muncul pendahulu senarai keseluruhan Underbone 150cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) menjadi bekalan buat Mohd Helmi Azman untuk menghadapi pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di MAEPS, Serdang, Selangor, 7 dan 8 Julai ini.

Pelumba Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing itu mempamer aksi cemerlang di peringkat Asia selepas meraih tiga podium, dua gelaran juara dan satu naib juara sepanjang tiga pusingan yang telah berlangsung pada tahun ini.

Namun aksi pembukaan Kejuaraan Cub Prix di Litar Tangkak awal April lalu menyaksikan Helmi sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-19 manakala rakan sepasukan, Mohd Fakhrusy Syakirin Rostam menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan.

“Banyak perbezaan diantara perlumbaan ARRC dan Cub Prix terutama dari segi litar yang digunakan. Begitu juga dengan pelarasan dan kawalan jentera. Tahun ini saya baru beralih pasukan dan sewaktu di Tangkak, saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan jentera. Selepas beberapa pusingan di Asia, saya semakin serasi dengan jentera Honda yang digunakan.

“Walaupun penamat yang sedikit mengecewakan sewaktu di Tangkak, saya yakin dapat mencapai keputusan lebih baik bersama rakan sepasukan yang lain. Saya meletakkan sasaran sekurang-kurangnya dapat layak ke Superpole,” jelas Helmi.

Google ads
Back to top button