BuletinModifikasi

HENNESSEY VELOCIRAPTOR: 6 X 6 = 1.2 JUTA

Bagi orang biasa macam kita, Ford Ranger 2.2 sudah mencukupi. Gagah bergaya, laju, cukai jalan tak mahal dan segala macam kelebihan lagi. Bila ada duit lebih boleh angkat Ranger Wildtrak 3.2 yang lebih bergaya walaupun kegunaannya sama sahaja sebenarnya.

Ramai yang membeli untuk kelihatan rugged dan macho sekaligus meningkatkan keyakinan diri pemilik. Tapi ini bukan cerita Ford Ranger, ini cerita abang Long Ford Ranger di Amerika yang dipanggil Ford F-150 Raptor model 2017.

Bagi kebanyakan manusia, Ford F-150 Raptor ini sudah mempunyai lebih daripada apa yang diperlukan untuk kegunaan off-road. Kalau letak di sebelah Ranger Wildtrak jawabnya memang jadi jinak la Wildtrak kita. Tetapi bagi sesetengah penggila off-road di sana, mereka mempunyai idea untuk menghasilkan trak super khusus untuk membelah laluan gurun.

VelociRaptor-6X6-front-orange

Trak super yang kita lihat di sini merupakan hasil kreativiti Hennessy Performance dan ia digelar VelociRaptor 6X6 dan mempunyai 600bhp di bawah bonetnya. Daripada empat kini mereka menambah lagi tayarnya kepada enam. Ini merupakan satu isyarat kepada Mercedes tentang bagaimana 6×6 gaya Amerika dilahirkan.

Sebagaimana kita ketahui, segmen 6X6 memang cukup kecil dan buat masa ini, ia dimonopoli oleh Mercedes dengan G63 AMG 6×6. Model konsep VelociRaptor dihasilkan untuk menjadi pencabar baru dalam segmen ini.

Ia bermula daripada sebuah Ford Raptor biasa dan ditambah dengan satu lagi gandar di belakang oleh Hennessey. Bahagian dek kargo aluminium belakang dipanjangkan lagi untuk tujuan itu. Akhir sekali keseluruhan pakej melalui proses naik taraf untuk prestasi.

Trak bertayar enam Ford kini mempunyai gandar belakang baru, suspensi khusus untuk kegunaan off-road, rim-rim bersaiz 20 inci dan tayar off-road yang bersaiz gergasi. Bahagian gandar hadapan bagaimanapun dibiarkan dalam keadaan standard.

VelociRaptor-6X6-side-orange

Model konsep ini juga dilengkapkan dengan bahagian bumper hadapan dan belakang rekaan khas lengkap dengan lampu-lampu LED pada bahagian bumbung. Henessey juga menawarkan pakej naik taraf twin-turbo kepada VelociRaptor 600 yang bakal menghasilkan lebih daripada 600bhp.

Proses yang dijalankan meliputi penukaran pengecas turbo, modifikasi pada sistem ekzos dan sejukan selain pelarasan semula ECU.

Bagi mereka yang cuma mahukan VelociRaptor 4X4, Henessey Performance menawarkan pakej berharga USD22,500 untuk naik taraf mana Raptor generasi kedua kepada VelociRaptor 600 twin-turbo.

Menariknya tentang harga, VelociRaptor 6×6 ini ditawarkan cuma dengan harga USD295,000 sahaja (RM1.2 juta) di Amerika. Ianya jauh lebih murah berbanding G63 AMG 6×6 yang dijual dengan harga USD430,000 sebuah. Kalau di Malaysia? Jangan ceritalah, jual buah pinggang satu keluarga pun belum tentu boleh beli.

VelociRaptor-6X6-front-black

Pilihan tambahan untuk VelociRaptor 6X6 ini termasuklah angkup-angkup brek Brembo depan dan belakang, pilihan tayar dan rim yang lebih besar, kemasan dalaman mengikut tempahan pelanggan, lampu-lampu LED yang lebih berkuasa dan sistem keselamatan.

Mengikut John Henessey, pemilik syarikat tuning yang berpengkalan di Texas ini, tarikh sebenar VelociRaptor ini boleh mula dimiliki akan diumumkan sedikit masa nanti. Ini kerana mereka menggunakan Ford F-150 Raptor 2017 sebagai asas kepada VelociRaptor.

Jadi bakal pembeli dan penggemar off-road harus menunggu sehingga Raptor 2017 diedarkan. Sebaik diedarkan mereka boleh mula menempahnya secara terus dengan Hennessey ataupun melalui bilik-bilik pameran Ford yang terpilih.

Nampaknya dunia 4×4 sudah semakin berkembang menjadi 6X6 sebagaimana Jeep Wrangler G Patton. Apakah sepuluh tahun lagi mungkin akan menjadi 8×8? 10X10? 12X12? 14X14?

 

Siapa tahu kan?

Google ads
Back to top button