Buletin

PROTON MULA PASANG SAGA DI PAKISTAN. X70 BAKAL MENGIKUT JEJAK

Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (Proton) mengorak langkah di Pakistan dengan pengeluaran pertama model Saga pada 13 Oktober lalu di negara terbabit.

Menurut kenyataan Proton, Saga merupakan model pertama Proton yang dipasang  rakan pengedar eksklusifnya, Al-Haj Automotive telah dilancarkan Presiden Pakistan, Dr. Arif Alvi.

Pemasangan Saga oleh Al-Haj Automotive itu dilakukan di kilang pengeluaran baharunya di Karachi yang bernilai AS$20 juta (RM 82.97 juta).

“Berdasarkan kapasiti tahunan permulaan sebanyak 25,000 unit, potensi jualan di pasaran Pakistan menjadi aspek penting bagi rancangan Proton untuk melonjakkan eksport pada masa depan,” kata Proton dalam kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Al-Haj Automotive, Hilal Khan Alfridi berkata kejayaan pemasangan Saga di Pakistan merupakan kemuncak kerja keras dan usaha yang tidak kenal penat lelah oleh Proton, keseluruhan pasukan Al-Haj dan pembekalnya.

Beliau berkata dengan segala kesukaran dalam penguatkuasaan berkaitan Covid-19, pihaknya terus berusaha membina kilang baharu.

“Susulan itu, kami yakin ia akan mencatatkan standard industri baharu dan membolehkan kami untuk memperkenalkan lebih banyak produk yang menepati piawaian kualiti antarabangsa yang ditentukan oleh pihak Proton,” katanya.

Dalam pada itu, Proton X70 akan menjadi model kedua dipasang di negara tersebut selepas penghantaran terakhir 154 unit import sepenuhnya (CBU)  pada 17 Oktober lalu.

 “Proton X70 mendapat liputan meluas di Pakistan kerana kombinasi reka bentuk, teknologi dan ciri keselamatannya. Pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen C pada Disember ini,” jelasnya.

Dengan penghantaran 154 unit terakhir Proton X70 pada pertengahan Oktober lepas, jumlah eksport model CBU ke negara tersebut adalah 602 unit.

Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata pihak Al-Haj Automotive telah menerima 2,500 unit tempahan bagi Saga dan lebih 2,000 unit tempahan bagi X70.

“Berikutan penghantaran terakhir unit CBU yang dalam perjalanan, selain pemasangan tempatan telah bermula bagi Saga, manakala X70 akan dihasilkan sebelum akhir tahun ini, kami akhirnya dapat mengorak langkah ke hadapan untuk memenuhi permintaan pasaran.

“Ini akan memberikan ruang bagi Al-Haj Automotive dan Proton untuk mewujudkan keberadaan yang kuat di pasaran negara tersebut demi faedah pertumbuhan jualan masa hadapan,” katanya.

Beliau menambah, dengan jualan eksport menjadi pengukuh untuk mencapai hasrat jangka masa panjang, komitmen PROTON terhadap pasaran di Pakistan menjangkau penghantaran CKD dan alat ganti yang lain.

Katanya, ia meliputi sokongan sumber manusia dan hari ini, seramai 20 kakitangan Proton yang mempunyai pelbagai kepakaran dalam bidang berkaitan pengilangan ditempatkan di Karachi untuk membantu dalam proses pemasangan.

“Dengan 37 tahun pengalaman penghasilan kenderaan, Proton telah mengumpulkan kepakaran dalaman yang boleh dimanafaatkan oleh pasaran luar negara kita.

“Melalui pengalaman operasi di pelbagai pasaran, kami boleh menyesuaikan diri secara pantas di dalam banyak situasi dan keadaan, jadi kami harap dapat memainkan peranan besar dalam memastikan kejayaan jenama kita di Pakistan,” jelasnya.

Google ads
Back to top button