
CF MOTO NAK MASUK MOTO3 MUSIM DEPAN
CF Moto, pengeluar motosikal berpangkalan di China bakal mencipta sejarah apabila dikatakan akan menjadi ‘muka’ baharu dalam Siri Kejuaraan Moto3 musim depan.
Menurut sebuah laman web Jerman, Speedweek, jenama baharu dalam sukan permotoran itu berkemungkinan akan membuat penampilan sulung dalam kelas kadet.
Sumber Speedweek mendedahkan, selain KTM, Husqvarna dan GAS GAS, Pierer Mobility juga dikatakan akan menyokong jenama keempat iaitu CF Moto.
“Jentera dijangka ‘memasuki’ litar bersama pasukan Prustel GP dan pengumuman akan dibuat ketika pusingan Misano bulan depan. Tetapi bagaimana kita boleh jelaskan tentang kemungkinan penyertaan baharu ini? Mudah sebagai mana peningkatan permintaan di China,” katanya.
Kerjasama antara Pierer Mobility dan CF Moto bermula pada 2017 dengan ia diterjemahkan dengan perasmian kilang pengeluaran di Hangzhou baru-baru ini.
Kilang berkenaan berkemampuan menghasilkan lebih 50,000 motosikal setahun dengan sasaran untuk menguasai pasaran China dengan motosikal berkapasiti kecil. Syarikat itu turut menghasilkan motosikal versi 750 cc dan 900 cc.
Menurut laman web Moto Sprint, pelancaran baharu pada Moto3 menjadi langkah utama kepada laluan untuk menguasai pasaran.
Bahagian operasi pemasaran diuruskan oleh Pierer Mobility, yang mana pada dasarnya ‘menguasai’ hampir keseluruhan grid Moto3. – motorcyclesport/BH