BuletinMotosikal

HLYM UMUM HARGA YAMAHA YZF-R25 2019 – RM19,998.00

Setelah mendedahkannya sewaktu pelancaran Yamaha Tracer GT pada bulan Januari lalu, hari ini HLYM telah mengumumkan harga jualan YZF-R25 di Malaysia.

Sedikit kenaikan harga berlaku berbanding versi generasi pertamanya yang dilancarkan pada 2015 iaitu RM19,783. Model terbaru ini dijual pada harga RM19,998.00.

R25 adalah produk penting Yamaha di Malaysia kerana ia merupakan model sportbike terkecil dalam keluarga ini sebelum hadirnya R15. Sejak dilancarkan pada 2015, ia tidak pernah mendapat kemaskini yang besar.

Mahu atau tidak, Yamaha ‘terpaksa’ menaik taraf model ini demi mengekalkan populariti dan saingannya dalam kelas yang sama dengan Honda CBR250RR, Suzuki GSX250R dan terbaru, Ninja 250R.

Walaupun sebilangan alatan baru yang dipasangkan pada model ini kelihatan merubah rupa bentuk model asal, namun dari segi teknikal, tiada perubahan pada enjin dua selinder tersebut.

Belum ada VVA, belum ada juga ciri-ciri seperti slipper clucth (juga masih tiada ABS).

Antara ciri yang membezakannya dengan model sebelum ini ialah ;

  • Lampu hadapan terpisah dengan fungsi LED
  • Suspensi hadapan jenis Upside Down (USD) yang diberi kemasan warna emas
  • Panel instrumen LCD multi-fungsi yang telah ditambah baik
  • Rekaan dan aerodinamik yang berinspirasikan kepada model YZR-M1
  • Perubahan bahagian belakang dengan menampilkan “ekor” lebih aerodinamik seperti ada lubang saluran udara.
  • Kelongsong udara di bahagian tengah antara lampu hadapan. Jika mengikut standard industri, ia adalah lubang kemasukan udara ke bahagian intake yang bertindak sebagai RAM AIR.
  • Bahagian kerangka nampaknya tak berubah secara signifikan dan kelihatan sisik di bahagian fairing kurang liang udara berbanding model semasa.
  • Lampu hazard
  • Suis penghidup jenis gelongsor.
  • Reka bentuk suis 3 dalam 1
  • Kemasan trim peredam bunyi

HLYM menawarkan dua pilihan warna iaitu Biru dan Merah. Ia akan mula berada di pasaran minggu hadapan.

GALERI

Google ads
Back to top button