Buletin

HONDA ACCORD GENERASI KE-10 – TANDA ARAS BAHARU SEDAN EKSEKUTIF DI MALAYSIA

Honda Malaysia baru-baru ini mengejutkan pasaran automotif tempatan apabila melancarkan Honda Accord generasi ke-10 serba baharu yang sekali lagi merupakan game changer dalam segmen D. Accord  Serba Baharu jelas kelihatan lebih elegan dan premium berbanding sebelumnya.

Sebagai sebuah model yang mempunyai pengaruh yang besar di Malaysia, Accord bukannya satu nama yang asing untuk segmen ini. Malah boleh dikatakan ramai antara kita yang membesar dengan model ini termasuklah saya sendiri.

Kenangan menaiki Accord generasi pertama ataupun lebih dikenali dengan nama Accord ‘pagar’ di sebelah Pantai Timur milik jiran ke sekolah memang sangat indah. Ia memang sebuah kereta yang selesa dan sentiasa mendahului zaman.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Encik Toichi Ishiyama berkata, “Honda Accord mempunyai sejarah selama 44 tahun sejak kemunculannya pada tahun 1976 dengan sembilan generasi. Accord sentiasa mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia dengan rekod jualan yang menggalakkan bagi generasi sebelumnya. Sehingga kini, terdapat lebih daripada 84,100 unit Accord berada di jalan raya Malaysia.”

“Kami amat berbesar hati dengan sokongan padu terhadap Accord daripada rakyat Malaysia selama ini. Ia mendorong kami untuk terus menawarkan produk yang memenuhi keperluan pelanggan dan menetapkan standard baharu dalam industri. Accord Serba Baharu yang dilancarkan hari ini terus memenuhi kehendak pelanggan dengan ciri-ciri lebih canggih dan premium,” tambah Ishiyama.

Penampilan keseluruhan Accord Generasi ke-10 menampilkan rekaan yang lebih luas, bumbung lebih rendah dan hud yang lebih panjang. Ia menonjolkan postur yang bergaya dan anggun bersama gril depan krom berkembar yang merupakan signatur Honda, lampu utama dan lampu belakang LED.

Melengkapkan bahagian luar Accord yang maskulin ini ialah ciri yang bukan sahaja baharu tetapi juga unik pada Honda – rim aloi 18-inci dengan Resonator*. Ia direka khas untuk mengurangkan bunyi tayar dengan menggunakan resonator ke roda.

Accord juga dilengkapi dengan enjin turbo 1.5L VTEC yang ditambah baik, menjadikan Honda pengeluar kereta Jepun pertama yang membawa enjin pengecas turbo ke dalam segmen D. Enjin ini mampu menghasilkan 201PS kuasa dengan tork maksima 260Nm, jauh lebih berkuasa berbanding prestasi enjin 2.4L.

Melalui penambahbaikan ini, Accord menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih menyeronokkan. Pada masa yang sama mengekalkan penggunaan bahan api yang efisien.

Accord juga merupakan model Honda terbaharu yang menerima perakuan Kenderaan Cekap Tenaga (Energy Efficient Vehicle). Sedan eksekutif ini boleh didapati dalam dua varian iaitu 1.5L VTEC Turbocharged (TC) dan  1.5L VTEC Turbocharged Premium (TC-P).

Digabungkan dengan pelbagai inovasi teknologi, Accord memiliki banyak ciri praktikal tambahan yang pertama bagi model keluaran Honda Malaysia. Terbaharu dalam kenderaan Honda di Malaysia ialah 4-way Assistant Power Seat with Shoulder Switch dan ciri Wireless Charging untuk mengecas telefon.

Sedan ini penuh dengan ciri-ciri premium. Antara ciri-ciri baharu yang terdapat dalam, Accord ialah Driver’s Seat Memory, Driver Attention Monitor, Walk Away Auto Lock dan Remote Engine Start.

Panel instrumen dan panel hiasan model ini dipertingkatkan dengan lebih premium dan segar dengan paparan audio terkini berukuran 8-inci di bahagian konsol tengah serta paparan meter (TFT) interaktif berukuran 7-inci.

Honda turut menekankan kualiti pembuatan khusus meningkatkan tebatan untuk mengurangkan NVH demi keselesaan maksima dan suasana perjalanan yang lebih baik.

Accord menggunakan teknologi Laser Brazing untuk sambungan panel tepi bingkai-bumbung, menjadikannya lebih kemas. Penggunaan pelekat berprestasi tinggi (High-Performance Adhesive) menambahkan lagi keteguhan casis, selain Spray Foam yang digunakan sebagai tebatan tambahan untuk keselesaan dalam kabin.

Dianugerahkan penarafan keselamatan lima bintang oleh ASEAN NCAP, Accord menawarkan teknologi keselamatan yang paling komprehensif dalam kelas sedan.

Accord merupakan satu-satunya model di dalam kelasnya yang mempunyai set lengkap Honda SENSING* yang terdiri daripada semua lapan ciri: Adaptive Cruise Control, Low Speed Follow, Auto High Beam, Forward Collision Warning, Collision Mitigation Braking System, Lane Keep Assist System, Road Departure Mitigation dan Lane Departure Warning.

Kereta sedan eksekutif terunggul ini didatangkan dengan teknologi keselamatan tambahan baharu seperti Sistem Kamera Pelbagai Pandangan (Kamera 360°)* yang membantu pemandu dengan memaparkan titik buta sekeliling pada skrin navigasi. Manakala ‘Cross Traffic Monitor’ (CTM)* pula menggunakan sensor radar untuk memantau sudut belakang kereta ketika mengundur.   

Satu lagi ciri baharu, Electric Parking Brake with Brake Assist memudahkan penggunaan brek letak kereta dengan sentuhan satu butang. Brake Assist membuatkan pemanduan dalam trafik henti-henti lebih mudah. 

Kesemua ciri baharu melengkapkan ciri-ciri keselamatan sedia ada Accord untuk keselesaan dan keselamatan pemandu. Misalnya, Honda LaneWatch yang menambah baik pandangan sudut sambil mengurangkan titik buta.

Accord hadir dengan ciri-ciri keselamatan standard merangkumi 6 Beg Udara, Vehicle Stability Assist (VSA), Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD), Emergency Stop Signal (ESS),  Hill Start Assist (HSA), sensor parkir depan dan belakang dengan Kamera Belakang Pelbagai Sudut dan ISOFIX pada tempat duduk belakang. 

Sebagai antara pendahulu dalam pasaran segmen D, Accord sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminatnya. Melihatnya kali pertama seakan-akan melihat sebuah Honda Civic yang semakin meningkat dewasa. Sporty, elegan dan lebih matang.

Untuk maklumat lanjut kesemua Accord Serba Baharu, layari www.honda.com.my.

Google ads
Back to top button