Buletin

KILANG ASSB MILIK TOYOTA KEMBALI BEROPERASI

Anak syarikat UMW Toyota Motor, Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) yang terlibat dalam pemasangan dan pengeluaran kenderaan Toyota kini telah menyambung semula operasinya. 

Ini susulan kepada kebenaran yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan pada 4 Mei 2020.

ASSB menggantung semua operasinya bermula 18 Mac 2020 sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Syarikat menyambung semula operasi pada 11 Mei 2020.

“Kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor di atas keputusan untuk melaksanakan PKPB dengan perincian khusus. Kami faham bahawa langkah berkenaan adalah untuk kebaikan negeri dan rakyat,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

Dengan penyambungan semula operasi, ASSB berharap dapat membantu merancakkan semula ekonomi, seterusnya meningkatkan momentum industri automotif dan perniagaan pada masa depan. 

Sama seperti semua syarikat yang dibenarkan menyambung semula operasi dalam kapasiti penuh, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan diamalkan. ASSB akan mematuhi sepenuhnya semua SOP berkenaan demi menjaga kesihatan dan keselamatan kira-kira 2,000 pekerja yang bertugas di kilang.

Antara SOP yang dimaksudkan ialah mengekalkan jarak satu meter antara pekerja, pemeriksaan suhu badan dengan kerap, langkah pencegahan menggunakan cecair sanitasi dan topeng muka serta pembasmian kuman di premis tiga kali sehari.

Sekiranya perlu, tempoh bekerja serta aliran tugas akan diubah untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat. Toyota Motor Corporation (TMC) juga sangat serius dalam menyediakan suasana yang selamat dan sihat bagi semua pekerja. 

“Sebagai keluarga besar Toyota di peringkat antrabangsa, ASSB boleh memanfaatkan nasihat serta amalan kesihatan terbaik daripada TMC berkaitan langkah-langkah tambahan yang boleh diambil untuk situasi operasi di negeri Selangor ini,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

Google ads
Back to top button