Modifikasi

HONDA CIVIC EG6 VTEC TURBO

Kalau anda dah mula main kereta sejak tahun 1990-an, anda mesti tau tak ada kereta yang lebih glamour daripada Honda Civic EG hatchback.

SONY DSC

Tak kisah lah sama ada versi pemasangan tempatan, JDM enjin VTEC SOHC, SOHC karburator berkembar atau VTEC DOHC yang dikenali dengan kod EG4 atau EG6. Ini ialah kereta untuk playboy sejati. Awek pun memang cukup suka kalau lelaki yang cuba nak mengorat dia bawa kereta ni. Memang terbukti berkesan!

Harga jentera itu bukannya murah. Saya masih ingat ada kawan yang beli EG4 terpakai pada tahun 1996 pada harga RM72,000. Perlu ingat, zaman itu pinjaman kereta boleh buat 5 tahun sahaja dengan kadar faedah yang agak tinggi. Jadi, secara automatik, mana-mana brader yang guna kereta ini memang dicop berduit. Aku masa ni naik BMW je (Bas Mini Wilayah), awek tak pandang langsung. hahaha!

SONY DSC

Sekarang, di penghujung tahun 2014, EG sudah pun berusia 22 tahun (model pertama EG dilancarkan pada tahun 1992), tapi saya rasa kereta ini masih mampu menarik ramai peminat daripada golongan hawa. Saya kena hormat siapa yang menggarap bentuk luaran kereta ini, masih seksi walaupun dah berumur. Mungkin Civic ini ialah Rozita Che Wan versi kereta.

Selain daripada bentuk badan yang menggiurkan, Civic ini juga diminati kerana enjinnya. Ya, kalau anda dapat model EG6 yang asli, sudah tentu ada dapat sekali enjin B16A DOHC VTEC yang legend tu. Kalau dapat EG4 pun tak kisah, sebab enjin siri B senang-senang sahaja boleh disumbat masuk ke chasis Civic ini.

SONY DSC

Contohnya, Civic yang datang jauh dari Kuala Terengganu ini. Asalnya bukanlah dari model EG6, tetapi sekarang dah jauh lagi power daripada EG6 original. Pemiliknya, Fadli memilih enjin B16A daripada half-cut Civic EG6 sebagai nadi baru untuk keretanya. Enjin tu kalau biar standard pun dah cukup power sebenarnya – 170hp atas flywheel. Tapi kalau nak power lagi, apa kata kita sumbat turbo pula pada enjin ni?

Turbo dan VTEC macam minyak dengan air bagi peminat tegarnya, tak boleh bercampur. Tapi kalau anda pengikut trend USDM, turbo dan VTEC dah lama dicampur menjadi satu dan menjadi jentera pemusnah kereta berenjin V8 di sana.

SONY DSC

Untuk Civic ini, projek turbonya dimulakan dengan menggantikan kepala silinder enjin dengan kepala silinder B18C Type-R. Blok enjin tak pula dinyatakan apa yang dah ditukar, tapi saya percaya omboh dan conrod asal mesti dah ganti. Kalau tak mau meletup enjin.

Turbin pilihan Fadli bukan calang-calang turbo – Garret GT30 beb! Turbo yang sebesar buah kelapa ini dimuatkan kepada enjin atas manifold keluli tahan karat custom dan tahap boost pada turbo dikawal oleh sebuah wastegate daripada Tial.

SONY DSC

Turbo ini disambung kepada intercooler front mount GReddy melalui paip custom yang menempatkan injap blow-off, juga daripada Tial. Gas ekzos yang keluar daripada enjin disalurkan melalui paip keluli tahan karat custom saluran terus yang berdiameter tiga inci tanpa sebarang peredam bunyi (tak dapat bayangkan bunyinya apabila jarum RPM mencecah 9,000).

Enjin yang dah ada turbo ini perlukan sistem penyampaian bahan api yang baik. Sebab itu ia dibekalkan dengan pam bahan api Walbro dan sistem pancitan bahan api FIC. Sistem penyejukan enjin tak dilupakan, dengan radiator asal diganti dengan radiator aluminium jenama FWIN.

SONY DSC

Sistem elektronik enjin mendapat khidmat sistem nyalaan daripada MSD dan ECU enjin dinaik-taraf dengan komputer boleh program, Hondata. Boost dikawal oleh pengawal boost manual Turbosmart.

Kereta ini mengekalkan kotak gear asal EG6, tetapi dipertingkatkan dengan pemasangan klac perlumbaan dwi-plat daripada Exedy. Kotak gear juga ditambah dengan sistem LSD mekanikal daripada Cusco untuk memastikan kereta mendapat cengkaman yang secukupnya.

SONY DSC

Kereta berkuasa turbo, ada VTEC pula tu kalau pengendalian macam tongkang di laut bergelora pun tak guna jugak kan? Sebab itu Fadli menggantikan penyerap hentak asal Civic dia dengan satu set penyerap hentak boleh laras berjenama Mines. Strut bar OEM Integra Type-R dipasang di bahagian atas strut hadapan dan kat belakang. Sebuah anti-roll bar daripada Ultra Racing juga digunakan.

Rim pilihan Fadli dah tentunya rim buatan Jepun yang asli, iaitu SSR Spec-C berdiamter 15 inci. Rim-rim ringan itu dibalut pulak dengan satu lagi produk Jepun yang terkenal – tayar Toyo Proxes R1 bersaiz 195/55/15. Untuk memberhentikan Civic ini, Fadli mengenakan brek cakera bersama pam yang disalin daripada Integra GSR.

SONY DSC

Dari segi hiasan luaran, Civic ini sekali pandang nampak macam biasa sahaja sebab Civic versi EG memang tak berapa sesuai dipakaikan dengan bodykit yang over. Biar nampak standard dah cukup.

Tetapi Fadli sebenarnya dah menggantikan bonet depan, fender depan dan bonet belakang dengan aksesori yang diperbuat daripada gentian karbon. Memang gempak dan mahal! Cermin sisi diganti dengan aksesori daripada Ganador dan lips depan pula replika rekaan Mugen.

SONY DSC

Di bahagian dalam, semua tempat duduk, panel pintu dan papan pemuka diganti dengan peralatan asal Civic spec 1994. Stereng asal diganti dengan stereng asli Momo Integra DC2 Type-R. Gugusan meter pun diganti dengan meter dari Integra DC2 Type-R. Meter boost yang digunakan untuk Civic ini ialah daripada Auto Meter. Lupa nak cerita, Civic ini ada menggunakan tuil gear jenis quickshift buatan Top Fuel yang dihiasi dengan tombol gear asal Type-R.

SONY DSC

Aku berharap sangat-sangat satu hari nanti Honda Malaysia membawa masuk kembali Civic hatchback dua pintu macam ni. Model FN2 spec Euro tu memang mengancam habis rupanya. Tapi buat masa ni, kita layan je la dulu Honda CRZ enjin 1.5 liter…
[hr]GALERI 

SONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSC

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button