
HONDA FORZA 125 2023 DIPERKENAL DI EROPAH, ADA MODEL EDISI ISTIMEWA!
Barisan Honda Forza terdiri daripada tiga model iaitu Forza 750, Forza 350 dan Forza 125. Daripada tiga model tersebut, Forza 125 menarik perhatian dengan gaya maxi dan berbekalkan enjin 125 cc.
Seperti dua model teratas, Forza 125 tampil dengan gaya segak dan terbaru Honda memperkenalkan Forza 125 2023 untuk pasaran Eropah.
Sebelum pengenalan terbaru ini, rekod penerimaan Forza 125 begitu menggalakkan dan setakat Ogos 2022 angka jualannya telah pun melebihi 98,000 unit.
Pembaharuan yang dibuat kali ini tidak terlalu lama selepas Honda memperkenalkan Forza 125 2021 (MY2021) pada 2020.
Forza 125 MY 2021 mempunyai perubahan pada bahagian kosmetik dan aerodinamik, cermin depan dengan larasan tambahan 40 milimeter (mm) dan soket USB Jenis C.
Untuk Forza 125 2023, Honda menggantikan fairing depan dengan gayaan ala Forza 750 dan meter instrumen baharu yang menggabungkan paparan digital dan analog.
Reka bentuk depan Forza 125 2023 tidak seratus peratus seperti Forza 750 tetapi membawa gayaan sama dan diserlahkan dengan dua lampu utama LED baharu.
Meter instrumen Forza 125 2023 direka semula dengan meter kelajuan analog dan kelajuan enjin mengapit paparan digital yang mengandungi tiga menu.
Menu tersebut terdiri daripada odometer, baki jarak dan kadar penggunaan minyak, meter perjalanan, purata penggunaan minyak, suhu persekitaran dan sensor bateri.
Cermin depan larasan elektrik boleh digerakkan sebanyak 180 mm dengan laluan udara dihala ke sekeliling dan melepasi kepala penunggang dan turut membantu dalam mengurangkan bunyi angin.
Tinggi pelana Forza 125 berukuran 780 mm dan ruang simpanan di bawah boleh memuatkan dua topi keledar muka penuh.
Dari segi mekanikal, Forza 125 digerakkan enjin enhanced Smart Power (eSP) empat injap SOHC dengan output yang sama iaitu 14.3 kuasa kuda (hp) pada 8,750 rpm dan tork 12.3Nm pada 6,500 rpm.
Forza 125 boleh memecut dari 0 hingga 200 meter dalam masa 13.3 saat.
Enjin dengan suntikan bahan api PGM-FI dilengkapi teknologi Idling Stop yang menghentikan operasi enjin selepas tiga saat dalam keadaan melahu dan skuter dalam keadaan pegun.
Kadar penggunaan mengikut mod WMTC adalah sekitar 41.7 kilometer per liter (km/l) dan dibekalkan tangki dengan kapasiti 11.7 liter.
Satu ciri canggih pada Forza 125 ialah Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang membantu cengkaman roda belakang.
Indikator T akan dipaparkan pada skrin apabila HSTC beroperasi bagi mengurangkan gelinciran roda dan sistem itu boleh dipadam sepenuhnya.
Rim depan Forza 125 berukuran 15 inci dengan tayar 120/70-15 dan dipasang cakera brek saiz 256 mm.
Rim belakang lebih kecil dengan ukuran 14 inci dan padanan tayar 140/70-14. Cakera brek juga lebih kecil dengan ukuran 240 mm dan dilengkapi ABS dwi saluran.
Ada lima warna yang ditawarkan untuk Forza 125 2023 iaitu Matt Cynos Gray Metallic, Pearl Falcon Gray, Matt Pearl Pacific Blue dan Matt Carnelian Red Metallic.
Honda juga memperkenalkan Forza 125 Special Edition dalam warna Matt Cynos Gray Metallic dengan roda merah, pemijak kaki belakang hitam, jahitan merah pada pelana dan plat lantai besi tahan karat.
BACA: HONDA PILOT 2023 DIPERKENAL DI AS, BESAR DARIPADA CR-V!
BACA: PANDU UJI: HONDA CIVIC e:HEV, KUASA MACAM TAK AKAN HABIS!
BACA: HONDA STEP WGN LAKU! LEBIH 27 RIBU TEMPAHAN DALAM SEBULAN DI JEPUN