
HONDA JAZZ HYBRID i-DCD LAKUKAN DEBUT DUNIA DI SETIA ALAM
Honda Malaysia sekali lagi mencatat sejarah apabila melakukan debut dunia model terbaharunya, Jazz Hybrid i-DCD untuk tontonan awam di Setia Alam pada acara Carlist.my MAA Drive, Test & Buy di Setia City Convention Centre, hujung minggu lalu.
Malaysia menjadi satu-satunya negara selain Jepun yang memperkenalkan Jazz Hybrid di dunia. Model kompak itu dilengkapi sistem hibrid Dual-Clutch Drive (i-DCD) dan enjin 1.5L DOHC i-VTEC baharu.
Rangkaian kuasa itu kemudian dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan dan High Power Motor untuk menawarkan pecutan serta penjimatan bahan api mengagumkan. Mode pemanduan EV membolehkan motor dan enjinnya dioperasi secara sendiri, selain turut membantu aspek janaan semula tenaga.
Intelligent Power Unit (IPU) pada sistem Sport Hybrid i-DCD berupaya menjana kapasiti tenaga sehingga 1.5 kali dan menggandakan output sistem tersebut. Berkuasa 137PS, rangkauan kuasa itu menyamai kapasiti enjin aspirasi biasa bersesaran 1.8 liter.
Tampil dalam warna perak (Lunar Silver), Jazz Hybrid i-DCD itu menerima rekaan bampar hadapan, belakang, lampu utama dan rim yang baru. Model yang akan dipasang tempatan itu bakal ditawarkan pada harga di bawah RM99,000 seunit. Selain varian hibrid, Honda Malaysia turut memperkenalkan Jazz facelift yang dijangka berada di pasaran pada suku kedua 2017 dan tempahannya kini sudah dibuka.
Jika anda tidak berkesempatan pergi ke Setia Alam, jangan bimbang. Honda Malaysia akan mempamerkan Jazz facelift varian petrol dalam acara Standard Chartered KL Marathon 2017 Race Entry Pack Collection pada 18-20 Mei 2017 di KL Convention Centre dan hari perlumbaan pada 21 Mei 2017 di Dataran Merdeka.
Model itu juga dijadual menyertai siri jelajah ke seluruh Malaysia tidak lama lagi.
BACA: HONDA JAZZ BAKAL GUNA ENJIN 1.0L TURBO?
BACA: HONDA JAZZ MUGEN PRO!
GALERI