Buletin

HONDA LANCAR JENTERA NEO-RETRO CB190TR KE PASARAN CHINA

Mengikuti perkembangan minat pengguna terhadap motosikal dengan rekaan neo-retro, Honda memperkenalkan model terbaharunya, CBF190TR ke pasaran China. 

Sekali pandang, kita sudah tahu bahawa ia diinspirasikan daripada model lebih besar seperti CB300R dan CB650R. 

Dibina oleh rakan Honda di China, Sundiro Honda, jentera itu tampil dengan reka bentuk klasik. Tetapi dilengkapi beberapa ciri moden seperti kluster meter digital, port USB dan lampu LED. 

CBF190TR digerak menggunakan khidmat enjin selinder tunggal bersesaran 184cc dengan sistem penyejukan udara dan pancitan bahan api.

Mampu menghasilkan kuasa mencecah 15.8PS dan tork 15Nm, ia hampir sama dengan kuasa enjin CB Hornet 160cc, motosikal naked Honda yang cukup popular di India. 

Motosikal itu menggunakan suspensi jenis upside-down (USD) di hadapan dan monoshock di belakang. Ia juga menerima tabung ekzos agak besar untuk kelihatan lebih premium. Rim aloi bersaiz 17 inci itu dipasang dengan tayar dual purpose, sekali gus menjadikannya lebih versatil. 

Tugas membrek diserahkan kepada cakera tunggal pada roda hadapan dan belakang bersama angkup daripada Nissin. Unit dengan sistem brek ABS dua saluran dijangka ditawarkan sebagai ciri standard. 

Dilihat sebagai sebuah mini scrambler, CBF190TR hanya akan ditawarkan di China buat masa sekarang. Jika Honda mahu menjualnya di Eropah, tidak banyak perubahan yang perlu dibuat. 

Bagi menarik minat golongan milenial, motosikal itu didatangkan dalam beberapa warna seperti merah, hitam, perak dan kuning. 

Google ads
Back to top button